Hotel Ibis tawar ruang solat, anjur tadarus al-Quran

Hidupkan suasana Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dalam usaha membantu golongan memerlukan, Hotel Ibis Styles di sini mengumpul RM1 daripada setiap pelanggan yang berbuka puasa  di situ untuk disalurkan kepada anak yatim dan asnaf.

- Advertisement -

Sumbangan dalam bentuk keperluan sekolah atau barangan dapur itu dikumpul dalam tempoh 28 hari dan akan diagihkan selepas Aidilfitri.

Pengurus Besar Hotel Ibis Style, Zack Harun berkata, pihaknya berbuat demikian untuk membantu golongan memerlukan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial pihaknya.

“Sebelum ini, kita pernah berjaya mengumpul hampir RM9,000 melalui inisiatif ini,” katanya kepada media pada sesi ‘review’ Buffet Ramadan, di sini kelmarin dahulu.

Bagaimanapun katanya, jumlah kutipan dijangka sedikit berkurangan tahun ini memandangkan program berbuka hanya diadakan dalam hotel sahaja.

Tambahnya, tahun lepas pihaknya turut menyediakan ruang berbuka puasa di khemah besar bersebelahan hotel.

Beliau bagaimanapun yakin jumlah kedatangan pelancong yang akan menginap di hotelnya tahun ini mencapai 70 peratus, khususnya dari luar Kelantan sebagaimana tahun lepas.

Menurutnya, Kelantan akan kekal menjadi tumpuan pelancong sepanjang Ramadan kerana mereka ingin merasai suasana berpuasa di negeri ini, khususnya di Madinah Ramadan dan masjid-masjid utama di negeri ini.

Tambahnya, bagi menarik lebih ramai pelancong, hotel ini memperkenalkan promosi bilik istimewa sepanjang bulan Ramadan.

“Promosi bilik tahun ini ditawarkan pada harga RM130, RM150 termasuk sahur, dan RM199 bagi pakej berbuka puasa serta sahur,” katanya lagi.

Katanya, pihak hotel turut menyediakan ruang solat khas untuk pelanggan bagi memenuhi permintaan mereka yang ingin menunaikan solat berjemaah selepas berbuka puasa.

Selain itu, hotel tersebut turut menganjurkan sesi tadarus al-Quran selama 30 hingga 40 minit sebelum azan Maghrib bagi menghidupkan suasana Ramadan. – HARAKAHDAILY 7/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!