‘Ayam Untuk Asnaf’ bantu golongan memerlukan

- Advertisement -

BESUT: Program ‘Ayam Untuk Asnaf’ yang dijalankan dengan kerjasama lima pejabat DUN dalam Parlimen Besut menyaksikan sebanyak 1,000 ekor ayam telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

- Advertisement -

Pengerusi Pertubuhan Muszleem Malaysia, Ahmad Fadzli Fauzi berkata, pembahagian itu dibuat secara serentak pada 1 Ramadan lalu, melibatkan lima DUN iaitu DUN Jerteh (600 ekor), DUN Hulu Besut, DUN Jabi, DUN Kota Putera  dan DUN Besut masing-masing 100 ekor.

“Sumbangan ini diberikan kepada golongan asnaf, armalah dan warga emas, dengan setiap keluarga menerima seekor ayam,” katanya ketika ditemui di Pejabat NGO Muszleem, Kampung Landak, dekat sini kelmarin.

Katanya, sebelum ini pihaknya mengagihkan udang kepada penduduk selama tiga tahun berturut-turut pada setiap Ramadan pada kadar harga RM10 kepada setiap penerima.

Namun kali ini katanya, mereka memilih ayam bagi memberikan lebih kepuasan kepada penerima, khususnya keluarga besar.

Menurutnya, program ini bertujuan meringankan beban golongan terbabit dan memberi peluang kepada penyumbang untuk meraih pahala di bulan Ramadan.

Selain sumbangan ayam katanya, Muszleem turut menyumbangkan 800 kotak air minuman kepada beberapa masjid termasuk Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu dan Masjid An-Naim Sri Cemerlang.

Juga  Masjid Telipot Kota Bharu, Masjid Mahmudi Bachok, Masjid Ibrahimi Pasir Puteh dan Masjid As-Salam Pengkalan Chepa.

Di samping itu juga katanya, NGO berkenaan mengagihkan pek makanan kepada golongan asnaf setiap hari sebagai juadah berbuka puasa.

“Kami juga membantu peniaga kecil di beberapa kampung seperti Kampung Landak dan Padang Luas dengan membeli kuih atau lauk-pauk mereka setiap hari, membabitkan kos RM700 sehari, dengan 100 pek makanan pada harga RM7 sebungkus,” katanya.

Fadzli menegaskan kaedah ini bukan sahaja membantu golongan asnaf, malah memberi manfaat kepada peniaga kecil yang bergantung kepada jualan mereka sepanjang bulan Ramadan.

Sementara itu, ADUN Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor mengucapkan terima kasih kepada NGO Muszleem kerana telah mengagihkan sumbangan ayam serta pek juadah berbuka puasa setiap hari.

Menurutnya, sumbangan berkenaan akan meringankan beban golongan asnaf khususnya dalam DUN Jerteh.

Katanya, moga penyumbang yang berkaitan mendapat ganjaran pahala besar sebagaimana janji Allah pada mereka yang menginfaq pada bulan mulia ini.

“Dengan sedekah yang banyak ini akan membantu penyumbangnya sebagaimana sabda Nabi sedekah ini umpama air yang mampu memadamkan api.

“Ramadan adalah bulan pengampunan, bulan bersedekah, jadi sangat baik NGO-NGO yang menggerakkan usaha untuk memudahkan pihak lain menderma kepada golongan asnaf atau B40,” katanya.

Beliau berharap program ini diteruskan setiap tahun dengan kerjasama Pejabat ADUN Jerteh. – HARAKAHDAILY 7/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!