Tindakan lebih ketat elak kemalangan maut libatkan lori

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tragedi membabitkan tujuh orang maut dan 33 lagi cedera dalam satu kemalangan di KM204 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Alor Gajah, Melaka memerlukan tindakan tuntas kerajaan.

- Advertisement -

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan diminta melakukan penguatkuasaan lebih tegas pastikan kemalangan kenderaan berat tidak berulang.

Beliau berkata kebimbangan rakyat ketika ini adalah peningkatan kenderaan berat ketika waktu puncak di lebuh raya ketika ada laporan mendedahkan sebahagian lori tidak diselenggara secara berkala.

“Cuma sebagai kebimbangan kita semua, kegagalan ini di peringkat syarikat lori, jadi saya nak tanya kepada pihak kementerian melihat peningkatan kenderaan berat di waktu puncak di lebuh raya.

“Melihat kepada tindakan akan dibuat oleh kementerian kepada syarikat lori lain, adakah tindakan bersifat dasar untuk pastikan undang-undang lebih ketat kemalangan tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam jawapannya berkata, kerajaan sudah mempunyai perancangan termasuk melarang kenderaan berat pada waktu puncak terutama dua hari pada musim perayaan.

Malah, katanya kerajaan juga sedang melakukan kajian semula terhadap penguatkuasaan undang-undang yang dilihat kurang berkesan mengekang kemalangan yang membabitkan kenderaan berat.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan asal Khairil Nizam yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah hasil siasatan terkini berkenaan kes kemalangan maut yang meragut tujuh nyawa dan tiga puluh tiga orang cedera di KM204 Lebuh Raya Utara Selatan dan apakah tindakan yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian kepada syarikat lori yang tercabut tayar itu.

Menurutnya, susulan itu tiga agensi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). – HARAKAHDAILY 6/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!