KUALA LUMPUR: Beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 dilaksanakan.
Kapten Azahari Hasan (PN -Padang Rengas) berkata, RUU berkenaan mampu memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan dan mengurangkan ketirisan serta meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam jika dilaksanakan dengan baik.
“Beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum RUU ini dilaksanakan. Pertama, ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan.
“RUU ini bertujuan meningkatkan kecekapan tetapi bagaimana kerajaan bercadang memastikan ketelusan dan pelaksanaannya?
“Adakah mekanisme pamantauan yang jelas bagi memastikan setiap kementerian dan agensi benar-benar mencapai tahap kecekpan yang ditetapkan dan apakah hukuman dan tindakan terhadap jabatan yang gagal mencapai sasaran prestasi mereka?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Iltizam Kecelapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Azahari, beliau tidak mahu RUU ini sekadar menjadi slogan tanpa perubahan ketara dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Seterusnya, pengurangan birokrasi yang menghambat pengurusan. Rakyat sering mengeluh dalam kelewatan pemprosesan dokumen permohonan lesen dan pelbagai urusan lain yang memakan masa.
“Jika kerajaan benar-benar serius mahu meningkatkan kecekapan perlu ada usaha yang lebih konkrit untuk kurangkan karenah birokrasi yang membebankan rakyat dan perniagaan terutama dalam sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan pembangunan ekonomi,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!