RUU CCUS: Berapa beban kewangan ditanggung kerajaan?

Wan Hassan Mohd Ramli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mempertikaikan keutamaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 berbanding pelaburan dalam tenaga bersih seperti solar dan ombak.

- Advertisement -

Beliau membangkitkan persoalan itu ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini, dengan menegaskan bahawa tumpuan utama perlu diberikan kepada sistem semula jadi ciptaan Allah yang sudah sedia ada.

“Tumbuhan menyerap karbon dioksida dan menghasilkan oksigen, yang merupakan mekanisme semula jadi mengurangkan kesan perubahan iklim,” ujarnya.

Dalam perbahasan itu, Wan Hassan juga mempersoalkan bagaimana kerajaan bercadang membiayai implikasi kewangan pelaksanaan CCUS.

“Adakah melalui peruntukan langsung daripada bajet tahunan, pinjaman antarabangsa, atau mekanisme kerjasama awam-swasta (PPP)?

“Jika kerajaan bercadang memberikan insentif atau subsidi kepada syarikat yang melaksanakan CCUS, berapa besar beban kewangan yang akan ditanggung kerajaan, dan dari manakah sumber dana ini akan diambil?” soalnya lagi.

Beliau turut menekankan kesan peruntukan kewangan untuk CCUS terhadap pelaburan kerajaan dalam projek tenaga bersih lain, yang dilihat lebih mapan dan memberi pulangan jangka panjang.

“Adakah ini bermakna kerajaan akan mengurangkan pelaburan dalam teknologi tenaga solar, ombak dan sumber tenaga lestari lain demi memberi laluan kepada CCUS,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan perlu menilai keutamaan dalam pelaksanaan dasar iklim bagi memastikan perbelanjaan negara benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta alam sekitar. – HARAKAHDAILY 6/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!