PM mewajah retorik kosmetik atas nama reformasi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan 57 ahli parlimen pembangkang yang berkecuali dalam undian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 bukanlah satu pengkhianatan, sebaliknya merupakan langkah berprinsip bagi memastikan reformasi Parlimen dilaksanakan dengan lebih teliti.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar menolak kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi yang mendakwa tindakan itu sebagai pengkhianatan terhadap reformasi Parlimen dan enggan mendukung usaha memperkukuh institusi Parlimen.

“Adalah menjadi hak Ahli Parlimen untuk menyokong, menolak, atau berkecuali dalam sesuatu usul atau RUU. Agak mengecewakan apabila hal ini dipolemikkan pula oleh pihak kerajaan semasa, lebih-lebih lagi Perdana Menteri yang sedang mewajahkan diri sebagai ‘pejuang demokrasi tulen’ selama ini.

“Akibatnya, tindakan ini telah menyasarkan kefahaman umum tentang rasionalnya tindakan berkecuali 57 Ahli Parlimen pembangkang dalam isu ini. Harus difahami dengan jelas mengapa pembangkang berkecuali dalam RUU ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, blok pembangkang mengambil sikap berkecuali dalam RUU itu bukan kerana menolak reformasi, tetapi kerana terdapat banyak kelemahan dan ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian.

“PN (Perikatan Nasional) mencadangkan agar rundingan semula dilakukan dengan semua pihak berkepentingan, termasuk NGO, bagi memastikan pindaan RUU ini lebih lengkap dan menyeluruh. 

“Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan, melibatkan wakil pembangkang dan kerajaan, bagi memperhalusi pindaan ini sebelum dibentangkan semula. Ini selaras dengan pendekatan yang digunakan semasa pindaan Perlembagaan berkaitan undang-undang Anti Lompat Parti.

“Merujuk kepada saranan Commonwealth Parliamentary Association (CPA) Recommended Benchmark for Democratic Legislatures, badan perundangan seharusnya mempunyai kawalan penuh ke atas perkhidmatan Parlimen, bukannya di bawah pengaruh pihak eksekutif,” ujarnya.

Tambah Nadzir, terdapat banyak lagi cadangan penambahbaikan telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen PN, namun, perkara-perkara ini merupakan antara intipati utama yang dibangkitkan dalam perbahasan bagi memperkukuh RUU tersebut.

“Keadaan ini menunjukkan komited Ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk memperkukuhkan institusi Parlimen dan sistem demokrasi dalam negara ini.

“Cumanya adakah RUU Pindaan Perlembagaan dan RUU Perkhidmatan Parlimen yang dibawa oleh kerajaan hari ini lebih baik daripada Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan benar-benar menjamin kebebasan daripada campur tangan politik atau ia hanyalah suatu retorik kosmetik sahaja atas nama reformasi?” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!