Petugas kesihatan makin tertekan kerana beban kerja tinggi

Dato' Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hospital kerajaan kini berdepan krisis kekurangan jururawat dan penolong pegawai perubatan menyebabkan beban kerja tinggi ke atas petugas kesihatan yang semakin tertekan.

- Advertisement -

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan telah diberi taklimat bahawa terdapat ribuan kekosongan jawatan dalam sektor kesihatan yang masih belum diisi sehingga 31 Disember 2024.

Beliau turut membangkitkan isu pengagihan tidak seimbang tenaga kerja kesihatan antara negeri dan kawasan luar bandar serta bandar.

“Saya bimbang kita hanya berbincang mengenai beban tugas tinggi dalam sektor kesihatan awam, tetapi adakah masalah ini berlaku di semua premis Kementerian Kesihatan (KKM). Adakah ada hospital yang lebih terkesan atau lebih kekurangan tenaga kerja berbanding yang lain?

“Selain itu, adakah KKM berhasrat untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi mengendalikan sendiri pengagihan dan pengambilan kakitangan baharu sepertimana yang dilakukan oleh kementerian lain seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni, berkata kementeriannya telah melaksanakan satu sesi libat urus yang lebih kerap bersama ahli Parlimen untuk mendapatkan pandangan akar umbi.

“Kita sedang mempergiatkan perbincangan secara diplomatik KKM dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meningkatkan pertambahan kakitangan kami di Kementerian Kesihatan,” katanya.

Dr Alias dalam soalan asal meminta Menteri Kesihatan menyatakan statistik pembantu pegawai perubatan (MA) serta jururawat yang bertugas di hospital-hospital Kerajaan mengikut negeri dari tahun 2015-2024.

Beliau juga bertanyakan justifikasi pertambahan jam bekerja jururawat dari 42 jam seminggu kepada 45 jam seminggu dan sejauh mana pertambahan jam kerja ini dijangka memberi tekanan kepada jururawat yang bertugas. – HARAKAHDAILY 6/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!