Nilai perkhidmatan kerajaan dengan penarafan antarabangsa

Dato' Sri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) menegaskan kepentingan kerangka pembangunan yang lebih luas dalam Rang Undang-Undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025.

- Advertisement -

Ini, katanya bagi memastikan kerjasama yang jelas antara kerajaan, sektor perniagaan, dan masyarakat madani.

Menurut beliau, hubungan antara ketiga-tiga sektor ini sering kali tidak dimurnikan secara tuntas, meskipun ia boleh berlaku secara dalam talian dalam sistem digital.

Oleh itu, beliau menekankan keperluan untuk memastikan prinsip-prinsip asas dalam kerangka ini diterapkan dengan lebih kukuh.

Beliau turut menekankan kepentingan Perkara 5A mengenai kecakapan perkhidmatan, yang menurutnya harus merangkumi kepakaran pakar bidang (subject matter expert), selain menekankan aspek akauntabiliti dan integriti dalam perkhidmatan kerajaan.

“Saya juga ingin bertanya, adakah Perkara 7 dalam RUU ini perlu ditambah baik? Ini berkait rapat dengan inisiatif membasmi rasuah dan integriti, kerana undang-undang terdahulu lebih menjurus kepada general orders (GO) tanpa ketegasan yang mencukupi,” katanya semasa membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin turut mencadangkan agar kecekapan perkhidmatan kerajaan bukan hanya dinilai di peringkat domestik tetapi dibandingkan dengan penarafan antarabangsa.

“Sebagai contoh, bagaimana RUU ini selari dengan Sustainable Development Goals (SDG)? Kita juga boleh merujuk kepada model OECD – Open Government for Stronger Democracies, atau pendekatan di UK yang dikenali sebagai Government as a Platform. Selain itu, inisiatif seperti Open Government Partnership (OGP) juga boleh menjadi panduan.

“Maknanya, kita bukan sekadar mahu memperbaiki sistem dalam negara, tetapi meletakkan Malaysia setaraf, kalau boleh lebih baik daripada negara lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!