KUALA LUMPUR: Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) meminta kerajaan menyatakan tahap keberkesanan sistem kawal selia sedia ada untuk membenteras dan membendung operasi kilang e-waste haram di negara ini.
Beliau yang memuji tindakan pantas pihak polis membongkar operasi kilang e-waste haram yang dipercayai dikendalikan oleh warga asing, menyifatkan kewujudan kilang haram terbabit sebagai ancaman serius kepada negara dan perlu dibendung segera.
“Oleh itu, sejauh manakah keberkesanan sistem kawal selia yang ada dalam membenteras dan membendung operasi kilang e-waste haram ini?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Shaharizukirnain turut meminta penjelasan berhubung jumlah pegawai kerajaan yang dikenakan tindakan tatatertib susulan pendedahan kes ini.
Menjawab soalan ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan sentiasa menjalankan tindakan kawal selia secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Isu e-waste ini memang isu yang serius. Kita dapat maklumat bahawa ada pegawai-pegawai kita tengah membuat penguatkuasaan e-wastel menerima ugutan video call daripada tauke-tauke besar yang menjadi dalang ini menunjukkan video anak mereka di sekolah. Itu betapa seriusnya masalah e-waste pada ketika ini,” katanya.
Namun, beliau berkata, kerjasama baik antara pihak berkuasa, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, telah meningkatkan jumlah kontena e-waste yang ditahan di sempadan negara sejak tahun 2019. – HARAKAHDAILY 6/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!