PASIR PUTIH: Program Iftar Potluck Keluarga anjuran Pusat Khidmat DUN Gaal dan Pertubuhan Cakna Gaal menjadi medan memperkukuhkan hubungan kekeluargaan.
Program yang diadakan setiap hari Rabu sejak tahun lalu ini bertujuan memupuk semangat kasih sayang dalam keluarga khususnya bulan Ramadan.
ADUN Gaal, Mohd Rodzi Jaafar ketika dihubungi hari ini berkata, program berkenaan juga dapat mengumpulkan ahli keluarga sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk berbuka puasa bersama.
Jelasnya, semalam seramai 11 keluarga hadir menyertai program ini yang berlangsung dalam suasana santai di kawasan lapang berhampiran Sungai Gaal.
“Setiap keluarga membawa menu berbuka puasa dari rumah masing-masing, dan kebanyakannya terdiri daripada pelbagai jenis kerabu dan sambal.
“Tahun lalu, menu utama kita yang disediakan pihak penganjur ialah sayur batang keladi campur udang, manakala tahun ini menu istimewa adalah daging singgang,” katanya lagi.
Menurutnya, selain menikmati juadah bersama, aspek kebersihan turut diutamakan dengan melantik individu khas bagi memastikan kawasan program kekal bersih selepas iftar.
“Kita berharap program ini dapat terus menjadi platform mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membina suasana harmoni dalam komuniti,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!