Ancaman: ‘Ketuk macam nak roboh pintu rumah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Sungai Baru mendedahkan bahawa mereka pernah menerima ancaman daripada beberapa individu susulan ketidaksetujuan untuk menyerahkan kediaman kepada pihak pemaju.

- Advertisement -

Seorang penduduk, Rafidah Ibrahim berkata, beliau menerima ancaman itu ketika berada di dalam rumah bersama suami sebelum didatangi oleh individu yang tidak dikenali dan mengetuk pintu rumah mereka.

“Ini pengalaman saya sendiri, mereka ketuk pintu macam nak roboh pintu rumah. Pada ketika itu saya dan suami tengah makan. Suami saya kata ‘duduk diam, tak payah buat apa-apa’.

“Sebab itu hak kami, untuk kami menerima tetamu atau tidak itu hak kami. Tetapi cara mereka datang, tidak cukup dengan pintu depan, mereka pergi pintu belakang.

“Panggil-panggil kami, asak kami. Sebab apa? Pada ketika itu mereka mengusir kejiranan saya yang hanya ada beberapa lagi rumah. Semuanya nak suruh dikeluarkan,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Jelasnya, beliau membuat keputusan untuk terus memperjuangkan hak dan nasib penduduk-penduduk yang tidak bersetuju walaupun diasak sedemikian untuk keluar dari kediaman mereka.

“Ada yang sebelum ini JV (usahasama) mereka dah hantar ke Kampung Kerinchi, yang ada berbaki di flat saya ini mereka hantar ke Sungai Udang. Pada ketika itu memang nak suruh siapa yang ada lagi untuk keluar daripada rumah.

“Jadi kami buat keputusan untuk ‘no’ (tidak menerima). Sebab saya pun ada ramai adik-beradik. Apa hak saya untuk mewakili, menentukan apa yang adik-beradik saya nak.

“Kalau mereka bertegas untuk tak nak buat apa-apa, memang tak nak bersetuju dengan pihak pemaju ini, saya diamkan diri sahajalah,” katanya.

Sebanyak empat blok rumah flat di situ telah dirobohkan, dengan empat lagi sedang dalam proses perobohan oleh pihak pemaju.

Sementara 11 baris rumah teres masih kekal dengan satu telah dirobohkan bagi pembinaan Transit Aliran Massa (MRT). – HARAKAHDAILY 6/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!