KAHERAH: Israel mengkritik rancangan yang dikemukakan oleh negara-negara Arab untuk pembangunan semula Gaza, manakala kumpulan pejuang Palestin, Hamas menyambut baiknya.
Tidak lama selepas sidang kemuncak tergempar pemimpin Arab di ibu negara Mesir, Kementerian Luar Israel menyatakan rancangan pembangunan semula itu gagal menangani realiti situasi berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel.
“Serangan kejam pengganas Hamas yang mengakibatkan beribu-ribu kematian Israel dan ratusan penculikan, tidak disebut, dan tiada sebarang kutukan terhadap entiti pengganas pembunuh ini,” kata kementerian itu.
Hamas pula berazam memastikan kejayaan rancangan itu dan menganggap sidang kemuncak itu sebagai langkah ke hadapan untuk sokongan Arab dan Islam terhadap perjuangan Palestin.
Kumpulan Islam Palestin menggesa pemimpin Arab untuk memaksa Israel bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
“Kami menghargai pendirian Arab yang menolak percubaan untuk memindahkan rakyat kami,” tambah Hamas.
Wakil-wakil dari negara Arab bertemu di Kaherah, semalam dan menerima rancangan Mesir untuk pembangunan semula Gaza yang akan menelan belanja AS$53 bilion.
Sementara itu, Israel mengulangi sokongan terhadap idea Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mahu memindahkan penduduk Palestin ke Jordan dan Mesir sambila menyatakan bahawa negara Arab menolak cadangan itu tanpa memberi peluang untuk dilaksanakan terlebih dulu.
Israel juga mengkritik kenyataan yang bergantung kepada Pihak Berkuasa Palestin dan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), yang didakwa menunjukkan elemen rasuah dan sokongan terhadap keganasan.
Kenyataan negara Arab juga mengutuk keputusan terbaharu Israel untuk menghentikan kemasukan bantuan ke Gaza, menggesa untuk menamatkan pencerobohan Israel di Tebing Barat dan mengesahkan peranan penting UNRWA di Gaza dan Tebing Barat. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!