RUU Perkhidmatan Bomba: Rushdan cadang wujudkan OYK

Rushdan Rusmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta mewujudkan jawatan Orang Yang Kompeten (OYK) dalam Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025.

- Advertisement -

Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berkata, langkah tersebut menjadi kebiasaan jabatan kementerian dalam memacu dan menyokong penguatkuasaan sesebuah akta digubal dan peraturan dilaksanakan.

Katanya, individu terbabit mempunyai kelayakan unik seperti ilmu pengetahuan mendalam dan kepakaran yang tinggi untuk kemahiran di samping kefahaman mengenai peraturan yang diperlukan dalam sebuah agensi.

“OYK ini dalam memacu dan menyokong pelaksanaan suatu akta dan peraturan, kalau DOSH ada Pegawai Keselamatan dan Kesihatan, kalau DOE ada dengan Penilai Impak Alam Sekitar dan banyak lagi OYK lain.

“Maka kini telah sampai masanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga ada OYK yang mana OYK ini mempunyai ilmu pengetahuan mendalam,” katanya pada perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Rushdan lagi, RUU yang dibentangkan bagi bacaan pertama turut dicadangkan agar mewujudkan satu gelaran khusus sebagaimana tenaga profesional yang lain.

“Saya juga mencadangkan kepada kementerian untuk mengangkat OYK ini sebagai tenaga professional di peringkat global termasuk dicadangkan mempunyai prenominal seperti jurutera, teknologis dan sebagainya.

“Pindaan ini sedikit sebanyak mampu menjadi punca kuasa, kewujudan mereka ini pastinya mampu membantu jabatan memastikan penyelenggaraan sistem kebakaran dilakukan oleh firma berdaftar,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!