KOTA BHARU: Rakyat Palestin di Gaza tetap bersemangat menjalani ibadat puasa biarpun berdepan sekatan bantuan makanan dan keperluan asas oleh rejim Zionis.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman berkata, penduduk di Gaza sudah terbiasa dengan keadaan daif selepas berperang dengan Israel.
“Mereka tiada masalah menyambut Ramadan dalam keadaan serba kekurangan selain berdepan kesukaran mendapatkan barangan keperluan dan makan,” katanya ketika ditemui selepas program Malam Kemenangan Gaza di Madinah Ramadan, malam tadi.
Turut hadir dalam program selepas solat tarawih itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah serta timbalannya, Datuk Abdul Rahman Yunus.
Menurut Nadir, walaupun menghadapi pelbagai kekangan, penduduk Gaza tetap bersemangat membangunkan semula kediaman dan perniagaan yang musnah akibat serangan Israel.
“Mereka membersihkan kawasan yang runtuh dalam keadaan serba daif dan berhasrat untuk membangunkan semula perniagaan walaupun serba kekurangan,” katanya.
Beliau turut yakin penduduk Gaza mampu bertahan selama beberapa bulan dengan stok makanan dan barangan yang dihantar melalui 600 lori dalam tempoh gencatan senjata.
Dalam perkembangan lain, Nadir memaklumkan kanak-kanak di Gaza telah kembali ke sekolah selepas kerajaan mengisytiharkan sekolah yang selamat untuk beroperasi.
“Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, sedang membangunkan sekolah untuk memastikan pendidikan anak-anak Gaza tidak terhenti.
“Kami juga membuka sekolah terbesar di Semenanjung Gaza yang menempatkan seramai 3,000 pelajar,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa persatuan itu telah menyalurkan bantuan sebanyak RM35 juta sejak awal peperangan.
Mengulas mengenai konsep ‘kemenangan Gaza’, Nadir menjelaskan ia bukan sekadar kejayaan ketenteraan, tetapi juga kejayaan moral dan politik.
“Kemenangan itu bermaksud apabila Israel terpaksa tunduk dengan tuntutan mujahidin seperti gencatan senjata dan pembebasan 600 tahanan umat Islam dari penjara Zionis.
“Israel juga gagal menghapuskan HAMAS walaupun berusaha selama 15 bulan tanpa henti,” katanya.
Menurutnya, dunia kini menyaksikan perubahan besar di peringkat antarabangsa apabila sokongan terhadap Palestin semakin meningkat meskipun hampir 50,000 nyawa telah terkorban.
“Insya-Allah, kemenangan sebenar akan dapat dicapai dalam masa terdekat,” tambahnya.
Selepas majlis itu juga seorang pendakwah bebas, Maisuri Ismail menyerahkan sumbangan kepada Nadir untuk disalurkan kepada umat Islam Palestin.
Menurut Maisuri, sumbangan berkenaan didermakan oleh orang ramai di majlis-majlis agama termasuk individu yang bersimpati dengan umat Islam di Palestin. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!