KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyumbang 97 peratus daripada keseluruhan rantaian perniagaan dan menjadi tunjang utama ekonomi serta tenaga kerja untuk negara.
Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, PMKS walau bagaimanapun masih berdepan dengan cabaran besar dalam akses kepada teknologi digital, latihan, modal serta jurang digital antara bandar dan luar bandar.
“Apakah langkah konkrit kerajaan untuk menangani cabaran ini dan memastikan inisiatif di bawah DEFA (Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN) ini benar-benar memperkasa PMKS, bukan sekadar menguntungkan syarikat besar dan pemain teknologi multinasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dalam jawapannya berkata, kerajaan negara anggota ASEAN berhasrat menjamin PMKS di seluruh rantau itu diberikan peluang untuk berkembang.
“DEFA memberi akses bukan sahaja kepada syarikat-syarikat besar, tetapi juga kepada semua syarikat di ASEAN.
“Untuk negara-negara ASEAN yang belum lagi bersedia, pendekatan berfasa akan berlaku supaya mereka boleh melaksanakan DEFA,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!