MCC dan U-KeKWa mahu perkasa seni tekstil tradisional

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Kraf Malaysia (MCC) dan Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KekWa) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam memperkasa seni tekstil tradisional Malaysia.

- Advertisement -

Majlis MoU itu sebagai langkah penting dalam usaha melestarikan warisan seni kraf sambil membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat, terutamanya wanita dan penggiat seni tekstil tradisional.

MoU ini turut memberi sokongan kepada inisiatif The Textile Project (TTP) sebuah program komuniti yang bertujuan melahirkan perantis mahir dalam seni kraf sulaman kelingkan, tenunan songket, dan pembuatan batik.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim dalam ucapannya berkata, sektor tekstil merupakan agenda nasional yang diberi penekanan dalam dasar pembangunan negara.

“Program latihan, bimbingan, dan kolaborasi seperti ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada wanita dalam memperkasa kemahiran mereka serta membawa produk kraf tempatan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Kerjasama ini turut mendapat sokongan penuh daripada Yayasan Hasanah dan melibatkan peserta dari institusi pemulihan bagi membangunkan kemahiran mereka dalam industri tekstil.

Sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan, MCC memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan industri kraf negara serta memperkenalkan kraf Malaysia ke peringkat antarabangsa menerusi pelbagai projek kolaborasi.

Majlis ini dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam industri kraf dan pembangunan komuniti yang diharap kerjasama ini dapat menjadi pemangkin kepada pemeliharaan dan pengembangan seni tekstil Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, Presiden MCC, Nik Faiz Amin berkata, TTP adalah projek susulan selepas kejayaan The Silver Lining 2023 yang telah melahirkan 10 graduan kelingkan dan songket serta 10 graduan seni persembahan.

Katanya, projek ini dikendalikan oleh MCC dan mendapat sokongan penuh daripada Yayasan Hasanah.

“Kejayaan ini sangat membanggakan pihak kami dan merupakan kejayaan bagi warga kraf kerana setelah sekian lama, industri kelingkan dan songket Kelantan kekurangan tenaga mahir,” katanya.

Tambahnya, TTP kali ini membawakan tiga portfolio kategori kraf iaitu kelingkan, songket, dan batik Kelantan.

“Ketiga-tiga bidang ini merupakan seni kraf unggul sejak sekian lama di bawah naungan Istana Kelantan. MCC adalah satu pertubuhan neutral yang berperanan sebagai suara kolektif mewakili golongan artisan Malaysia,” ujarnya.

Menurut Nik Faiz, pihaknya menggalas tanggungjawab untuk mengenengahkan serta memposisikan pembuat kraf tempatan, terutamanya mereka yang meneruskan legasi kraf warisan agar mendapat pengiktirafan sewajarnya, sama ada dari rakyat Malaysia sendiri mahupun di peringkat antarabangsa.

Katanya lagi, MCC merupakan ahli World Craft Council dan pada tahun 2024 telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah NGO bertauliah di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

MCC diwakili oleh Nik Faiz, manakala U-KekWa diwakili pengarahnya  Ilvira Mohd Dusuki. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!