LZNK sasar RM14.5 juta zakat fitrah tahun ini

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan dua kadar zakat fitrah tahun ini iaitu sebanyak RM7 dan RM14 setiap seorang.

- Advertisement -

Pengerusi LZNK, Dato’ Seri Norizan Khazali, berkata, penetapan kadar berkenaan adalah melalui perkenan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Kadar tersebut juga jelasnya, berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini, mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu 2.6 kilogram.

“Kita galakkan tunai zakat fitrah ikut jenis beras yang kebiasaan dimakan setiap hari. Tetapi sekiranya beras yang dimakan setiap hari beras tempatan dan, kalau mampu nak bayar kadar RM14 juga dialu-alukan dan lebih baik,” katanya di sini.

LZNK juga katanya, menggalakkan bayaran zakat fitrah ini dibayar secara atas talian (online), selain itu, bayaran juga boleh dibuat melalui 2,753 amil dan 172 agensi yang dilantik di seluruh negeri.

“Kepada yang ingin menunai zakat fitrah secara atas talian, bayaran boleh dibuat melalui laman web JomZakat (jom.zakatkedah.com.my), portal pembayaran zakat fitrah (zakatfitrah.com.my) atau Zakat On Touch.

“Selain itu bayaran juga boleh dibuat di kaunter bank dan amil yang dilantik di kariah masing-masing,” katanya lagi.

Pada tahun ini jelas Norizan, amil yang dilantik akan menggunakan kaedah digital, menggunakan sistem MyAmil dengan memaparkan kod QR untuk diimbas pembayar zakat atau berkongsi pautan pembayaran yang disediakan.

“Pembayar pula akan menerima resit melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel.

“Bagi pembayar yang menghadapi masalah menggunakan kaedah digital, amil yang dilantik akan dibekalkan buku resit zakat fitrah, tetapi pada kuantiti yang terhad,” maklum Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah itu lagi.

Dalam pada itu, katanya, sasaran kutipan zakat fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM14.5 juta, berbanding tahun lalu sebanyak RM13.3 juta. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!