Lim Guan Eng perlu berpijak di bumi yang nyata

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng agar peruntukan Bumiputera dikurangkan sebanyak 10 peratus untuk diberikan kepada bukan-Bumiputera adalah sesuatu yang tidak berasas dan tidak memahami realiti sosioekonomi negara.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata, hak keistimewaan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berasaskan kepada keseimbangan sosial dan ekonomi demi memastikan kestabilan negara.

“Sejarah telah membuktikan bahawa dasar afirmatif seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan inisiatif lain adalah penting dalam membantu Bumiputera mengejar jurang ekonomi yang wujud akibat sejarah penjajahan dan ketidakseimbangan ekonomi yang telah lama berlaku.

“Lim Guan Eng sepatutnya memahami bahawa peruntukan yang diberikan kepada Bumiputera adalah bertujuan untuk mengangkat kedudukan ekonomi mereka agar setanding dengan kaum lain dan bukan satu bentuk diskriminasi terhadap bukan-Bumiputera.

“Malah, kaum bukan-Bumiputera juga telah menikmati pelbagai bentuk bantuan ekonomi, pendidikan dan peluang perniagaan daripada kerajaan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan mengusik perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial negara hanya akan mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian yang dinikmati selama ini.

“Sebagai pemimpin, Guan Eng sepatutnya lebih bijak dan berpijak di bumi yang nyata dalam memahami keperluan serta kepentingan semua pihak dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum.

“PAS Wilayah Persekutuan tetap komited dalam mempertahankan hak dan kepentingan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, di samping terus memastikan keadilan serta kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!