Lebihkan air kosong dan kurangkan air manis

- Advertisement -

UJIAN paling mencabar bagi umat Islam apabila berpuasa terutama ketika cuaca panas terik adalah dahaga.

Situasi itu menjadi semakin genting menjelang tengah hari, apatah lagi kalau berkerja atau berada di luar rumah.

Pastinya, air minuman menjadi pilihan utama ketika berbuka walaupun digalakkan memakan kurma atau buah-buahan terlebih dahulu.

Kerapkali minuman seperti teh ais, kopi ais atau apa sahaja yang kelihatan segar dan manis, sering menjadi pilihan, sehingga ada yang berpandangan ‘tidak sah berbuka puasa tanpa air manis-manis’ terutama yang lemak berkrim.

Tidak salah untuk ambil minuman manis kerana ia berpontensi mengembalikan semula tenaga yang hilang setelah seharian berpuasa.

Tetapi pengambilan berlebihan serta berterusan akan membawa kesan negatif kepada tubuh badan dan boleh mengundang pelbagai penyakit.

*Kenapa perlu kurang atau berhenti minum air manis?*

Berhenti minum air manis amat sesuai kepada mereka yang berhajat turunkan berat badan, malah sebanyak 500 kalori dapat dikurangkan sekira meninggalkan pengambilan minuman manis tiga gelas sehari.

Pengurangan minuman manis juga akan membuatkan tidak cepat lapar dan dalam masa yang sama ‘insulin resistan’ iaitu insulin normal makin berkurang dan badan lebih efektif mengguna lemak sebagai tenaga.

Perut buncit lebih cepat turun, keinginan untuk makan setiap dua jam juga berkurangan.

Jadi tidak hairanlah sekiranya seseorang itu dilihat cepat turun berat badannya apabila individu berkenaan tidak atau mengurangkan pengambilan air manis.

Cuma tidak digalakkan kurangkan air manis dalam keadaan mengejut, sebaiknya sedikit demi sedikit untuk mengelak ‘sugar withdrawal symptoms’ iaitu seperti  pening kepala, rasa letih terlampau, berasa hendak pitam dan mengigil.

Apabila kita mengetahui beberapa kebaikan meninggalkan air manis, mari kita lihat pula apa manfaat minum air kosong.

Manfaat minum air kosong

Pengambilan air kosong berterusan akan mempercepatkan penurunan berat badan, bantu kurangkan risiko sakit kepala, menjadi lebih aktif dan meningkatkan kecergasan otak.

Selain itu, ia juga mengurangkan sembelit, merawat kencing tidak lawas, mengurangkan jerawat dan boleh bernafas dengan lancar.

Paling kurang setiap orang dihendaki minum air kosong sekitar lapan gelas sehari.

Setiap hidupan di muka bumi ini memerlukan air untuk terus hidup, begitu juga makhluk yang bernama manusia kerana setiap sel, tisu dan organ di dalam tubuh badan manusia memerlukan air untuk berfungsi dengan baik.

Air akan memastikan suhu badan kekal normal, melincirkan sendi dan tulang badan, menyingkirkan bahan buangan melalui peluh, kencing dan najis serta melindungi tisu yang sensitif.

Sekiranya badan manusia kekurangan air, akan berlaku masalah dehidrasi, di mana tubuh badan tidak mampu berfungsi secara normal.

Menurut kajian yang dijalankan oleh The US National Academies of Sciences, Engineering, and Medicine, jumlah pengambilan air yang sewajarnya adalah sekitar 16 gelas (3.7 liter) air sehari untuk lelaki dan 12 gelas (2.7 liter)untuk wanita.

Kekurangan air juga akan menyebabkan tubuh badan terasa lemah, lesu, letih dan tidak bermaya serta akan mengakibatkan beberapa kesan sampingan seperti mulut kering, tekak dahaga, kulit kering, pening kepala dan otot kejang.

Selain itu ia juga boleh membuatkan seseorang kurang membuang air kecil, air kencing menjadi warna keruh, mengantuk, sembelit
dan kurang air mata apabila menangis

Sekiranya perkara ini terjadi, rawatannya mudah sahaja iaitu  memperbanyakkan minum air kosong atau minuman lain terutamanya yang membekalkan elektrolit dan garam. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!