Kaji semula taraf perjawatan anggota bomba

Dato' Sri Dr Ismail Abd Muttalib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Taraf perjawatan anggota bomba perlu dikaji semula, selain elaun dan kemudahan mereka ditambah baik bagi memastikan kebajikan pasukan itu lebih terjamin.

- Advertisement -

Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkata, anggota bomba memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa serta melindungi harta benda rakyat.

Mereka, ujarnya, sentiasa berdepan pelbagai insiden bencana seperti kebakaran, lemas, dan kemalangan jalan raya.

“Saya ingin mencadangkan supaya taraf perjawatan anggota bomba dikaji semula serta elaun khas diberikan kepada anggota bomba sukarela yang turut berkorban masa dan wang ringgit mereka sendiri dalam menjalankan tugas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan bercadang untuk menswastakan pasukan bomba seperti yang berlaku di beberapa negara lain, selain meminta data terkini mengenai jumlah anggota bomba mengikut kaum di seluruh negara.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), termasuk bagi pasukan bomba sukarela serta penyediaan peralatan yang lebih lengkap.

Dalam pada itu, Ismail meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendedahkan jumlah insiden kebakaran dan kejadian lemas dalam tempoh lima tahun terakhir, selain memperluaskan latihan kepada anggota bomba, termasuk latihan di luar negara.

“Saya juga ingin mengingatkan kerajaan mengenai komitmen membina Balai Bomba di Chenor yang masih belum dilaksanakan, walaupun peruntukan RM800,000 telah diumumkan bagi kerja-kerja tanah dan awalan,” tambahnya.

Tegasnya, sektor kebombaan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan rakyat dan negara, justeru kerajaan perlu memberikan perhatian serius terhadap kebajikan serta keupayaan jabatan itu. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!