KOTA BHARU: Hotel H-Elite Design sekali lagi menawarkan pengalaman unik sempena Ramadan tahun ini dengan menyediakan penginapan serta bufet berbuka puasa khas untuk anak-anak yatim.
Pengurus Besar H-Elite Design, Hamzah Rosli berkata, seramai 100 anak yatim dari beberapa rumah kebajikan sekitar Bandar Kota Bharu akan diraikan dalam program khas tersebut.
“Kita sediakan 25 bilik untuk anak yatim lelaki dan 25 bilik untuk anak yatim perempuan bagi memberi mereka peluang merasai pengalaman menginap di hotel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ‘food review’ di hotel tersebut kelmarin.
Selain itu, jelasnya pihak hotel juga akan mengedarkan pek makanan ke beberapa surau setiap hari Jumaat sepanjang Ramadan.
“Jumaat pertama ini, kita akan edarkan 50 pek juadah berbuka puasa berupa nasi di Masjid Tunjong, Masjid Padang Enggang dan Masjid Kota,” tambahnya.
Tambah beliau, bagi kemudahan pelanggan, hotel ini turut menyediakan ruang solat tarawih dengan imam khas dari pusat tahfiz yang boleh memuatkan 50 jemaah.
Menyentuh mengenai bufet Ramadan, lebih 100 menu ditawarkan dengan tema Teroka Ramadan, menampilkan hidangan Timur Tengah seperti nasi Arab, sup kaki kambing citarasa Mesir, serta menu baharu seperti perut bakar dan perut air asam.
Jelasnya, harga bufet ditawarkan pada kadar istimewa RM64 bagi lima hari pertama sehingga 6 Mac, sebelum berharga RM88 bermula 7 Mac hingga 30 Mac berbanding harga asal bufet adalah RM128.
“Kita juga ada promosi pelanggan ke-8 dan seterusnya akan menikmati bufet secara percuma,” jelas Hamzah.
Program ini diharap dapat memberi keceriaan kepada anak yatim dan memeriahkan sambutan Ramadan bersama pelanggan. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!