KUALA LUMPUR: Kewujudan Pasukan Bomba Persendirian perlu dipantau sebaiknya oleh pihak kerajaan terutama memastikan kriteria yang perlu ada dipenuhi.
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, setakat ini beliau tidak pasti sama ada jumlah pasukan itu di seluruh Malaysia telah direkod dan berapakah jumlah permohonan yang telah diterima.
“Dalam sub-seksyen 2 ada menyebut, ketua pengarah boleh mengarahkan pemunya premis untuk menubuhkan Pasukan Bomba Persendirian sekiranya wujud potensi bahaya atau risiko khas kebakaran.
“Jadi apakah jenis risiko dan bahaya yang dimaksudkan dalam seksyen itu,” soalnya ketika mengambil bahagian pada perbahasan RUU Akta Perkhidmatan Bomba Pindaan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya lagi, berdasarkan maklumat yang beliau perolehi, Pasukan Bomba Persendirian juga telah diwujudkan di beberapa kawasan industri khususnya berkaitan minyak dan gas seperti di Kerteh, Terengganu dan Pengerang, Johor.
Oleh itu soalnya, adakah kerajaan bercadang untuk mewajibkan kawasan industri yang berisiko tinggi berlaku kebakaran seperti dalam sektor minyak dan gas serta petrokimia untuk mewujudkan pasukan itu atau hanya menunggu permohonan.
Sedangkan katanya, faktor keselamatan pekerja perlu diambil kira dan menjadi keutamaan, sementara langkah awal untuk mengelakkan kebakaran daripada merebak perlu diambil bagi mengurangkan risiko kecelakaan yang lebih besar berlaku.
“Pada sub-seksyen 3, ada menyatakan, ketua pengarah boleh mengenakan apa-apa syarat bagi penubuhan Pasukan Bomba Persendirian.
“Jadi saya juga ingin tahu, apakah syarat-syarat dan kriteria tersebut? Bagaimanakah skop operasi mereka? Adakah terhad di premis tersebut sahaja atau dibenar membantu operasi luar?
“Selain itu, apakah ada audit secara berkala terhadap Pasukan Bomba Persendirian,” soalnya.
Wan Razali turut menarik perhatian sidang dewan, berkenaan perkara yang membabitkan perunding keselamatan dan kebakaran, juga berkaitan firma, kontraktor dan latihan melibatkan dua perkara tersebut.
“Saya melihat kemasukan bahagian ini pada pindaan ini amat baik dalam mengamalkan ‘standard’ dan kualiti terutama berkaitan perkhidmatan keselamatan,” tambah beliau.
Beliau turut menegaskan, oleh kerana entiti berkenaan perlu membuat permohonan dan membayar fi, maka pihak inginkan penjelasan berapakah kadar fi bagi setiap permohonan dan apakah syarat-syarat yang dikenakan.
Seterusnya katanya, beliau menyokong serta bersetuju agar semua peralatan keselamatan kebakaran didaftarkan dan mematuhi ‘standard’ yang ditetapkan bagi memastikan ia selamat digunakan.
Cuma katanya, pihak kerajaan perlulah menyenaraikan apakah peralatan yang boleh digunakan oleh Pasukan Bomba Persendirian sama ada perlu mengikut spesifikasi dan ‘standard’ yang sama oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – HARAKAHDAILY 5/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!