KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa agar mengambil perhatian kepada masalah bekalan air yang berlaku di sekolah-sekolah terutama membabitkan sekolah berasrama akibat paip bocor atau lain-lain.
“Di Perlis ini sering berlaku kebocoran paip kerana kebanyakan paip utama agak lama dan ini turut menjejaskan bekalan air ke sekolah-sekolah dan memberi kesan kepada sekolah berasrama.
“Bila ketiadaan air di asrama, pelajar diarahkan pulang dan ini akan mengganggu ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tinggal agak jauh.
“Oleh itu setakat manakah usaha KPM untuk menyediakan tangki air simpanan bagi kegunaan murid-murid terutamanya di asrama,” kata Zakri Hassan (PN-Kangar) pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (PH- Taiping) ketika menjawab soalan tersebut berkata, KPM telah menyediakan peruntukan sehingga RM1 billion setiap tahun bagi tujuan penyelenggaraan institusi pendidikan di Malaysia.
Peruntukan itu katanya, disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengikut keperluan sekiranya terdapat kes-kes spesifik seperti yang diajukan itu.
Dalam pada itu, Zakri juga inginkan penjelasan sama ada terdapat jangka masa tertentu untuk proses pembaikan paip-paip utama di kawasan sekolah yang dilihat mengganggu perjalanan pembelajaran para pelajar terbabit.
Menurut Kah Woh, tindakan atau usaha KPM bergantung kepada kerosakan paip di dalam premis pendidikan dan peruntukan yang diluluskan oleh kementerian terbabit hanya lebih tertumpu di dalam premis pendidikan sahaja.
Beliau juga mengalu-alukan Zakri untuk memberikan input dan maklumat yang lebih lanjut kepada KPM bagi tindakan seterusnya. – HARAKAHDAILY 5/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!