KANGAR: Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNPs) komited dalam usaha membangunkan belia melalui sukan dengan menyerahkan barangan sukan kepada 15 Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Mohd Ridzuan Hashim berkata, langkah ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan, tetapi juga sebagai satu strategi melahirkan generasi lebih sihat dan berdaya saing.
“Kita mahu memastikan golongan muda sentiasa aktif dan mempunyai gaya hidup sihat. Sukan bukan sekadar riadah, tetapi ia juga membentuk disiplin, semangat berpasukan dan daya juang yang tinggi dalam diri mereka.
“Barangan sukan yang diserahkan ini akan dimanfaatkan oleh komuniti setempat, terutama belia, dalam menganjurkan pelbagai aktiviti sukan di peringkat akar umbi,” katanya.
Serahan barangan sukan tersebut telah dilaksanakan dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Majlis Sukan Negeri, di sini semalam.
Ujarnya lagi, PKWR memainkan peranan penting dalam merancakkan inisiatif ini dengan menyediakan kemudahan serta penganjuran program sukan bagi menarik penyertaan lebih ramai anak muda.
Majlis turut dihadiri Timbalan Pengarah MSNPs, Irzat Rozaidy Mohamad Roseli, Ketua Unit Acara, Noor Zaidi Hamad, serta wakil PKWR DUN seluruh Perlis. – HARAKAHDAILY 5/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!