Teliti menyeluruh Akta Perkhidmatan Parlimen elak ketidaktelusan

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tertutup yang diperkenalkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dikhuatiri akan membuka ruang kepada lantikan berdasarkan hubungan kekeluargaan atau kepentingan tertentu, kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

- Advertisement -

Ujarnya, pengwujudan semula Akta Perkhidmatan Parlimen perlu diteliti secara menyeluruh bagi mengelakkan sebarang ketidaktelusan dalam lantikan pegawai serta kakitangan parlimen.

“Saya ingin menarik perhatian bahawa dalam dokumen parlimen iaitu penyata Jawatankuasa Dewan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada 22 November 2016, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“Antaranya, kertas kerja kajian pengwujudan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah memberi peringatan mengenai implikasi negatif sekiranya perkhidmatan tertutup diwujudkan semula,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Takiyuddin lagi, perkhidmatan tertutup akan menyebabkan peluang kenaikan pangkat menjadi terhad akibat ketiadaan perjawatan yang mencukupi serta ketidakadilan dalam tindakan tatatertib.

“Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai lantikan calon yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau kepentingan tertentu.

“Ini boleh menyebabkan berlakunya penghijrahan pegawai dan kakitangan yang berpengalaman serta berkemahiran keluar dari organisasi akibat persekitaran kerja yang tidak adil,” ujarnya.

Beliau turut memetik laporan Commonwealth Parliamentary Association (CPA) Recommended Benchmark for Democratic Legislatures yang menegaskan bahawa badan perundangan harus mengawal perkhidmatan parlimen dan bukannya pihak eksekutif.

“Perkara utama yang perlu ada dalam rang undang-undang ini ialah jaminan kebebasan dan integriti institusi parlimen.

“Namun, dalam draf RUU PSA 2025, perkara ini tidak dimasukkan kecuali yang hanya melibatkan kakitangan sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk merundingkan semula RUU ini dengan semua pihak berkepentingan termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memastikan rang undang-undang yang lebih menyeluruh dan adil.

“Sebagai ahli parlimen, kami menyokong usaha memperkukuh institusi parlimen. Tetapi ia mesti dilakukan dengan cara yang betul, menyeluruh dan tidak tergesa-gesa.

“Oleh itu, saya cadangkan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan rang undang-undang ini benar-benar lengkap sebelum dibentangkan semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!