SHAH ALAM: Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar mencadangkan penubuhan Wilayah Radd Al-Mazolim sebagai badan bebas bagi membanteras rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan dalam pentadbiran negara.
Menurut beliau, ia susulan kebimbangannya terhadap pemotongan subsidi dan ketirisan dana negara merugikan rakyat, di samping isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa seolah-olah telah menjadi tradisi dalam kalangan pemerintah mahupun yang pernah memerintah.
“Rakyat sudah muak dan bosan melihat penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa. Wilayah Radd Al-Mazolim antara badan dalam pemerintahan Islam bagi menegakkan keadilan, membanteras salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan kezaliman penguasa.
“Qadhi atau hakim yang dilantik bebas daripada tekanan pemerintah agar dapat menjalankan tugas dengan adil tanpa pengaruh politik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu menjelaskan bahawa Wilayah Radd Al-Mazolim memerlukan sebuah institusi khas bebas yang boleh menangani semua bentuk kezaliman oleh pemerintah dan mengembalikan hak rakyat teraniaya tanpa melalui sistem kehakiman panjang.
“Cadangan saya diwujudkan Mahkamah Keadilan Rakyat atau Suruhanjaya Diraja yang berperanan menerima serta menyiasat aduan rakyat, melindungi pemberi maklumat, memeriksa polisi kerajaan dan bertindak sebagai ‘check and balance’ ke atas keputusan kerajaan.
“Suatu akta khas dibentuk bagi memberi autoriti pada Wilayah Radd Al-Mazolim bagi melaksanakan tugasnya tanpa halangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!