Runtuhan salji humban kontena, puluhan terselamat

Penyelamat membuka kontena untuk menyelamatkan pekerja pembinaan.
- Advertisement -

NEW DELHI: Kontena menjadi penyelamat kepada puluhan pekerja binaan yang berjaya dibawa keluar ‘hidup-hidup’ dalam kejadian runtuhan salji banjaran Himalaya, negeri Uttarakhand di utara India.

Mereka mampu bertahan hampir dua hari kerana kontena yang diduduki mempunyai bekalan oksigen mencukupi sehingga pasukan penyelamat dapat mengeluarkan mereka.

- Advertisement -

Dalam kejadian Jumaat lalu, 54 pekerja tertimbus apabila runtuhan salji melanda sebuah kem pembinaan berhampiran Kampung Mana. Seramai lapan orang terbunuh, manakala 46 lagi berjaya diselamatkan. Operasi itu berlangsung hampir 60 jam hingga kelmarin dalam keadaan suhu bawah sifar.

Kebanyakan mangsa yang bekerja dalam projek pelebaran lebuh raya, dapat menahan runtuhan salji kerana kontena, kata penyelamat kepada akhbar The Indian Express.

“Tempat perlindungan kontena yang menyelamatkan mereka mempunyai bekalan oksigen mencukupi untuk bertahan sehingga kami mengeluarkan mereka,” kata pegawai kanan penyelamat kepada The Times of India.

Akhbar itu melaporkan bahawa runtuhan salji menyebabkan lapan kontena dan sebuah bangsal terhumban menuruni gunung.

Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami, mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang melakukan kerja menyelamat dalam keadaan yang mencabar.

Usaha menyelamat dibantu oleh anggota tentera India, pasukan tindak balas bencana negara dan negeri serta pentadbiran tempatan, termasuk menggunakan helikopter dan dron – BBC NEWS

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!