KUALA LUMPUR: Laporan media menunjukkan pembabitan `orang dalam’ sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam kegiatan sindiket penyeludupan manusia ke negara ini
Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, ini berdasarkan laporan sebuah akhbar pada 18 Februari lalu mengenai seorang pegawai Jabatan Imigresen di Sabah yang menghadapi 17 pertuduhan rasuah melibatkan pelepasan warga asing dengan bayaran RM14,250 antara Januari hingga Mac 2023.
“Selain tindakan mahkamah, apakah langkah drastik dan cabaran kerajaan dalam membanteras sindiket penyeludupan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang melibatkan pegawai kerajaan?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mencadangkan penggunaan sistem Biometrik dan Digitalisasi Kawalan Sempadan bagi menangani masalah kemasukan PATI secara bebas.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memperkenalkan sistem kawalan pintu masuk terkini melibatkan 141 pintu masuk rasmi negara, selain berusaha menangani laluan haram yang digunakan sindiket.
“Setiap agensi yang sensitif menempatkan pegawai integriti untuk mengesan aktiviti penyeludupan migran. Namun, cabaran ini memerlukan usaha menyeluruh kerana sering melibatkan jenayah terancang dengan motif keuntungan kewangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!