Kod QR KLIA: Minta menteri sahkan syarikat pembekal

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem pelepasan imigresen menggunakan kod respons pantas (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menimbulkan beberapa persoalan terhadap kawalan pintu masuk negara.

- Advertisement -

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, beliau telah mengajukan soalan mengenai mekanisme sistem itu termasuk pihak yang mengendalikan serta kos yang terlibat.

“Bolehkah Yang Berhormat sahkan bahawa syarikat pembekal kepada sistem kod QR ini adalah bernama Barisan Maha Mega Sendirian Berhad.

“Saya difahamkan syarikat ini menjalankan sistem pangkalan data, sistem maklumat pengesanan pelarian yang mendaftarkan pendatang asing dan bantu mencari yang mana untuk itu syarikat dibayar RM500 untuk satu pendaftaran yang dibayar oleh KDN.

“Adakah syarikat ini akan mengenakan caj yang sama kepada penggunaan kod QR ini?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem itu masih dalam tempoh percubaan dan tidak melibatkan sebarang bayaran buat masa ini.

“Buat masa ini kita belum buat membuat keputusan lagi sebab sekarang dalam tempoh percubaan,” katanya.

Dalam soalan asal, Takiyuddin meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh mana keberhasilan tempoh percubaan penggunaan kod QR untuk rakyat tempatan mulai Januari 2025 bagi sistem pelepasan imigresen di 40 lorong khas Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA dalam menyelesaikan isu kesesakan di pintu masuk negara. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!