Kenaikan gaji tidak setimpal inflasi 1.8 peratus

Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan kepada penjawat awam dan pelaksanaan skim gaji minimum sektor swasta sebanyak RM1,700, tidak menggambarkan realiti sebenar kehidupan rakyat.

- Advertisement -

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, maklumat dari Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan kenaikan tersebut tidak setimpal dengan peningkatan inflasi iaitu 1.8 peratus.

Beliau berkata situasi itu diburukkan lagi dengan cadangan kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi minyak petrol RON95 sebagaimana yang dilakukan terhadap minyak diesel sebelum ini.

“Inflasi 1.8 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas 2024, maka kenaikan gaji bersih sebenar adalah negatif 0.1 peratus, justeru rakyat terasa tertekan dengan kenaikan gaji yang tidak setimpal.

“Oleh itu apakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menaikkan gaji sektor swasta terutamanya dalam pembuatan, bilakah jangkaan rasionalisasi subsidi RON95 ini akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya berkata, kerajaan mempunyai kaedah untuk pastikan semua sektor swasta menyahut saranan tersebut termasuk menetapkan gaji minima RM1,700.

Selain itu kata beliau, kerajaan juga menetapkan skim gaji progresif dan dilaksanakan terlebih dahulu oleh anak syarikat kerajaan serta membabitkan syarikat besar catat keuntungan besar.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Tambun itu tidak menjawab soalan dikemukakan iaitu bilakah rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan selepas langkah sama dibuat terhadap diesel.

Awang dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah nilai dan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bermula 2022 hingga 2024.

Selain itu beliau turut meminta kerajaan menyatakan nilai dan kadar pertumbuhan KDNK nominal bagi Malaysia dalam tempoh yang sama. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!