Isu hak, peruntukan ahli parlimen tidak dinyatakan

Dr Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 perlu diperhalusi sebelum diluluskan bagi menjamin kebebasan institusi Parlimen dan memberikan kejelasan terhadap struktur kepimpinan.

- Advertisement -

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, jika matlamat utama RUU itu adalah untuk mengukuhkan kebebasan Parlimen, maka ia sepatutnya turut menyentuh hak dan keistimewaan Ahli Parlimen secara lebih jelas.

“Apakah matlamat RUU ini dibentangkan? Tadi dibuat undi belah bahagi, ada yang bersetuju dan ada yang tak bersetuju. Tentu ada perkara yang berkaitan.

“Jika untuk pengasingan kuasa dan kebebasan parlimen sepatutnya fasal-fasal yang dimasukkan dalam RUU ini hendaklah juga menyentuh hak-hak ahli Parlimen juga seperti keistimewaan dan peruntukan untuk semua ahli parlimen.

“Dalam RUU ini tak disebut secara langsung spesifik dengan izin. Tidak ada di belakang naskah biru ini senarai dan tidak ada jadual yang menyebut tentang peruntukan ahli Parlimen,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, RUU itu hanya membincangkan perkhidmatan atau perjawatan pegawai dan kakitangan parlimen saja, bukan ahli Parlimen.

Oleh demikian, beliau mencadangkan agar RUU itu ditangguhkan terlebih dahulu bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan dengan memasukkan peruntukan yang berkaitan dengan hak Ahli Parlimen secara nyata dan jelas.

“Barulah Jerlun boleh bersetuju dengan RUU ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!