Fenomena ‘Laut Terbelah’ gamit pelancong ke Langkawi

- Advertisement -

LANGKAWI: Fenomena ‘Laut Terbelah’ antara kejadian ‘ajaib’ yang amat ditunggu-tunggu oleh para pengunjung setiap kali kejadian itu berlaku.

- Advertisement -

Fenomena yang muncul sekali dalam setahun itu diambil kesempatan pengunjung berjalan di atas beting pasir sepanjang 600 meter menghubungkan Pantai Tanjung Rhu ke Pulau Kelam Baya dan Pulau Chabang.

Pada kejadian 1 Mac lalu, fenomena itu berlaku kira-kira jam 6:45 pagi selepas air laut di kawasan itu dilaporkan surut.

Lebih 3,500 pengunjung menumpukan perhatian mereka di Pantai Tanjung Rhu, untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena menakjubkan itu.

Malah kehadiran pengunjung lebih ramai berbanding tahun lalu yang dianggarkan 3,000 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin turut hadir menyaksikan fenomena itu berkata, kejadian itu menjadi bukti akan kebesaran dan keagungan Allah SWT yang sangat dikagumi.

Pengunjung diberi taklimat kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar dan dinasihatkan berhati-hati ketika berjalan di atas ‘sandbar’ berkenaan.

Peringatan itu bagi mengelak terpijak terumbu karang yang timbul atau lain-lain yang boleh membawa implikasi tidak baik.

Pengunjung juga diingatkan supaya tidak mengusik atau mengganggu hidupan laut yang muncul, kerana keseimbangan ekosistem perlu dipelihara demi kelangsungan keindahan bagi dinikmati generasi akan datang.

Dalam kejadian hampir satu jam itu, pengunjung berpeluang melihat dari dekat habitat pelbagai hidupan marin kerana kedalaman air di kawasan itu mencecah 2.5 meter ketika air pasang.

Dalam pada itu, untuk menambah kemeriahan program ‘Sandbar Walk’ tersebut, pelbagai acara diadakan seperti permainan tradisional sepak raga dan tarik upih.

Di samping itu orang ramai juga boleh melihat pameran agensi-agensi kerajaan, Kedah Tourism dan lain-lain.

“Fenomena sandbar ini juga sebagai produk pelancongan baharu di Langkawi. Saya yakin dengan usaha pelbagai pihak pemegang taruh, Sandbar Walk akan terus melonjakkan lagi nama Langkawi dalam carta kedudukannya sebagai salah satu destinasi pelancongan terbaik di dunia,”  kata Dato’ Salleh. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!