Bidang PAKK makin penting, mencabar di era kini

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi mendepani cabaran yang semakin mencabar, tugas mendidik anak-anak perlukan ilmu khususnya berteraskan pendidikan Islam.

- Advertisement -

Tidak cukup hanya dengan minat, namun ilmu mendidik yang selari dengan zaman ini perlu diterokai bagi mendepani pelbagai cabaran bakal dihadapi.

Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pengurusan dan
Pembangunan Insan, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Ahmad Hazman Ali berkata, mendidik kanak-kanak bukan suatu perkara mudah.

“Apa lagi di zaman yang serba canggih ini, kita sendiri berdepan dengan kanak-kanak yang aktif sehingga menjadi punca tekanan kepada mereka yang tersilap memilih kerjaya berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) Masterchef 2025 di Tunjong, di sini kelmarin.

Seramai 40 orang pelajar KIAS dalam bidang PAKK mengikuti pertandingan memasak yang julung kali diadakan di luar pusat pengajian mereka.

“Tanggapan pendidikan awal kanak-kanak merupakan bidang yang mudah sering menjadi punca tekanan kepada individu tersilap memilih kerjaya tersebut.

“Bidang PAKK ini popular sebenarnya, siapa kata tidak terkenal, tetapi ia ditenggelamkan dengan bidang pengajian syariah dan pengajian Islam menyebabkan bidang ini tidak begitu dikenali di sini,” katanya.

Menjawab soalan, beliau memberitahu program seperti ini diadakan untuk mempertingkatkan kemahiran dan ilmu kepada pelajar di samping ilmu-ilmu lain.

“Walaupun ini hanya ilmu memasak, tetapi sebenarnya ia menyentuh soal yang lebih jauh, macam mana untuk berdepan dengan orang ramai,” katanya lagi.

Beliau mengakui, sebagai kolej di bawah kerajaan negeri yang menekankan pendidikan akhlak, pelajarnya begitu berakhlak dan mudah dibentuk biarpun tidak melibatkan pengajian Islam.

Sementara itu, Pengarah Program Master Chef, Muhamad Ammar Mukhriz Othman, 20 memberitahu, tujuan program berkenaan diadakan untuk mendedahkan kaedah penyediaan makanan yang sihat kepada kanak-kanak.

Menurutnya, setiap pelajar yang mengambil PAKK akan mengikuti kursus pengendalian makanan berkhasiat untuk kanak-kanak bukan sahaja dari segi resipinya, tetapi kaedah penyediaan juga turut didedahkan.

Kata pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak KIAS,
sebanyak tiga menu dipertandingkan dalam master chef, antaranya sandwish, bento dan salad buah-buahan atau salad sayuran.

“Selepas belajar kami yang mengambil bidang ini berpeluang mengajar serta menyediakan menu sihat ini di sekolah-sekolah tadika atau seumpamanya.

“Kerana itu ilmu perlu dicungkil terlebih dahulu sebelum meneruskan kerjaya ini,” katanya lagi.

Tambahnya, memandangkan pertandingan ini mendapat sambutan menggalakkan, pihaknya akan menganjurkan program tersebut pada masa akan datang dengan lebih meriah lagi. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!