KUALA LUMPUR: Malaysia digesa memainkan peranan lebih besar dalam memastikan bantuan kemanusiaan ke Syria dapat disalurkan dengan lancar, terutama melalui sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang aktif di sana.
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, konflik di Syria yang berlanjutan lebih 14 tahun sejak Arab Spring telah menyebabkan lebih 90 peratus rakyat negara itu hidup dalam kemiskinan.
Selain itu, katanya, lebih tujuh juta rakyat Syria menjadi pelarian di luar negara, manakala lebih enam juta lagi kehilangan tempat tinggal di dalam negara sendiri.
“Sudah pastilah pembangunan infrastruktur dan keperluan asal itu sangat penting untuk seluruh masyarakat dunia membantu.
“Jadi banyak NGO kita di seluruh dunia termasuk NGO berada di Malaysia yang telah pun memasuki wilayah Syria ni termasuk NGO daripada PAS sendiri PAS Relief International daripada Global Peace Mission dan lain-lain.
“Jadi sudah pastilah usaha ataupun bantuan daripada Wisma Putra sangat penting untuk memastikan kelancaran pergerakan NGO ini untuk membantu keperluan asas kepada rakyat di sana.
“Bagaimana langkah Wisma Putra untuk memastikan bahawa bantuan NGO ini dimaksimumkan sampai ke sasarannya dan sudah pastilah kita negara Malaysia ini dapat sama-sama membantu memulihkan kembali Syria ni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, meskipun Malaysia tidak mempunyai kedutaan di Syria, pemantauan dan bantuan tetap diteruskan melalui NGO seperti Global Peace Mission, MERCY Malaysia, dan Muslim Care Malaysia Society, dengan sokongan daripada konsul kehormat Malaysia.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada 7 Mac ini, beliau akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, di mana situasi di Syria akan menjadi antara agenda utama selain isu Gaza. – HARAKAHDAILY 4/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!