PEMUDA PAS Malaysia ingin menegaskan bahawa PAS bukanlah anti-pembangunan sebagaimana yang didakwa. Ini terbukti sewaktu PAS berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), dasar pembangunan bandar telah pun dirancang malah PAS mempunyai Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 yang mana mengambil kira prinsip keadilan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Pembangunan yang holistik dan berasaskan keperluan sebenar rakyat merupakan keutamaan PAS.
Berkenaan cadangan RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) oleh kerajaan, Pemuda PAS ingin mempersoalkan ketetapan nilai ambang baharu yang diturunkan kepada 80%, 75%, dan 51% kerana menimbulkan ruang untuk penafian hak kepada golongan minoriti. Meskipun sudah ada penerangan daripada kerajaan berkait penghuni minoriti, namun ianya kelihatan dibuat secara terburu-buru kerana agak mengelirukan dan ada percanggahan antara dokumen. Maka mekanisme ini perlu dikaji dengan lebih mendalam dan kemas bagi memastikan hak pemilik tidak dikompromi.
Siri penerangan kerajaan berkaitan perkara ini masih belum menjawab dan memberi jaminan bahawa pelaksanaan URA ini akan berlaku perubahan drastik kepada demografi bandar pasca pembaharuan semula. Pertambahan ketara dalam nisbah plot ratio, yang mana tiada kuota dan syarat kepada pembeli unit-unit baharu berpotensi besar akan menarik minat bukan Bumiputera yang berkemampuan sekaligus membawa kepada fenomena gentrifikasi. Keadaan ini boleh menyebabkan penduduk asal, khususnya bumiputera akan menjadi minoriti dan terpinggir.
Fenomena gentrifikasi bukan sahaja wujud perbezaan jurang sosioekonomi dan sosiobudaya namun turut mengubah landskap ekonomi setempat yang hanya menfokuskan golongan berkemampuan. Implikasinya, penduduk asal yang sudah pun minoriti semakin tidak selesa dan meningkatkan polarisasi sosial antara kelas pendapatan dan semakin parah jika berlaku kesenjangan ekonomi antara kaum.
Implikasi situasi ini adalah;
i. Disebabkan kos sara hidup yang menekan beserta dan persekitaran kehidupan yang tidak selesa golongan minoriti khususnya orang melayu terpaksa mencari kediaman baharu di kawasan pinggir bandar dan akan menyebabkan komposisi kaum di bandar-bandar semakin tidak stabil.
ii. Penduduk minoriti terutama bangsa melayu akan terus kekal tinggal di unit gantian yang disediakan namun dalam keadaan terpinggir dan tertekan. Hal ini secara tidak langsung berisiko menjadi bom jangka kepada kestabilan sosial dan keselamatan negara dalam jangka panjang.
Oleh itu, seruan Pemuda PAS untuk mengadakan perhimpunan membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar ini adalah sangat penting dan signifikan rentetan sesi libat urus yang diadakan tidak memberi keuntungan kepada pihak berkepentingan. Selain itu, himpunan ini bukan sekadar membantah secara membuta tuli, tetapi jawapan balas kepada siri jawapan daripada pimpinan kerajaan yang angkuh yang menafikan persoalan dan keresahan rakyat selain mendesak kerajaan untuk membuka semula meja rundingan dan penerangan holistik kepada pihak berkepentingan bukan terhad kepada pemaju dan ahli akademik namun menyisihkan rakyat yang terlibat.
Justeru, Pemuda PAS menegaskan bahawa himpunan bantah RUU URA akan diteruskan dengan skala yang lebih besar berdasarkan hak yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sekiranya kerajaan gagal mendengar suara rakyat di bawah.
Sekian.
“Kita Memimpin”
YB USTAZ MOHD HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
ADUN Manjoi – HARAKAHDAILY 3/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!