KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang wartawan Malaysiakini dilihat agak janggal dari segi motif, ketepatan undang-undang dan keutamaannya, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menurutnya, adalah lebih tepat dan sesuai tugas sekiranya SPRM mendahulukan siasatan ke atas laporan media berhubung kegiatan meragukan melibatkan ejen pekerja asing dan kakitangan Jabatan Imigresen di pintu masuk negara, berbanding menahan wartawan yang melaporkan dakwaan rasuah.
“Hal ini kerana kegiatan tersebut, sekiranya benar, lebih berpotensi menimbulkan masalah lebih serius dan berbahaya bagi keselamatan dan ekonomi negara berbanding dakwaan peras ugut jenayah yang dikatakan melibatkan seorang wartawan portal Malaysiakini.
“(Wartawan) yang menulis artikel bertajuk ‘Pegawai imigresen KLIA kantoi selit 12 pasport di pinggang’ dan ‘Bongkar: ‘Datuk’ dalang kartel Pakistan di KLIA?’ masing-masing pada 19 dan 22 Februari lepas, mendedahkan kegiatan kartel warga Pakistan yang menyeludup masuk pekerja asing ke Malaysia.
“PAS melihat tindakan SPRM terhadap wartawan terbabit yang dibuat hanya berdasarkan laporan pihak berkepentingan langsung, iaitu ejen pekerja asing yang didedahkan dalam laporan Malaysiakini itu kelihatan agak janggal dari beberapa sudut.
“Dan perlu diteliti dengan lebih dekat, terutama dari segi motif, ketepatannya bawah undang-undang dan keutamaannya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, umum mengetahui bahawa kes salah laku dan rasuah melibatkan pegawai imigresen dan ejen pekerja asing bukanlah perkara baharu malah sering kali dibangkitkan dalam masyarakat mahupun di Parlimen.
“Pada September tahun lepas sahaja, SPRM menahan 37 penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki bersekongkol dan menerima rasuah daripada sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu KLIA.
“Semasa operasi khas SPRM dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan pula, ia turut melibatkan rampasan wang tunai berjumlah lebih RM1 juta dan penyitaan barangan kemas termasuk jongkong dan dinar emas, jam tangan berjenama, kereta, motosikal dan telefon bimbit pelbagai jenama.
“PAS juga merasa hairan apakah istimewanya laporan Malaysiakini ini sehinggakan SPRM mengambil inisiatif khusus hanya berdasarkan laporan ejen, yang jelas merupakan pihak berkepentingan langsung, untuk memerangkap seorang wartawan kerana laporannya mengenai kegiatan yang bukan lagi rahsia itu?” soalnya.
Menurut Takiyuddin, sekiranya dakwaan peras ugut jenayah oleh wartawan terbabit benar, bukankah perkara itu sepatutnya dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan bawah Kanun Keseksaan, bukannya diambil tindakan bawah Akta SPRM.
“Sekiranya laporan media tersebut pula salah atau dianggap memfitnah, bukankah pihak terkesan turut dilindungi oleh undang-undang sama ada melalui tindakan sivil atau jenayah, bukannya dengan membuat laporan kepada SPRM?
“Kejanggalan ini sebenarnya boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM sendiri, baik dari aspek profesionalismenya mahupun dari sudut ketelusan tindakan badan itu.
“Ia boleh dianggap bertujuan menutup mulut wartawan dan media terbabit, sekali gus memenuhi motif dan kepentingan pihak berkepentingan langsung yang didedahkan sebelum ini.
“Tindakan itu juga boleh dilihat sebagai langkah yang berlawanan dengan peranan wartawan dan media sebagai institusi teras demokrasi, prinsip kebebasan bersuara serta semak dan imbang awam.
“Apa-apa tindakan yang boleh dilihat bertujuan mengganggu, menyekat atau menakut-nakutkan media serta wartawan hendaklah dielakkan sama sekali, terutamanya oleh agensi kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Pengarang Eksekutif Malaysiakini, RK Anand dan Pengarang Urusan, Ng Ling Fong terkejut dengan dakwaan melibatkan wartawannya yang berkhidmat sejak 2018. – HARAKAHDAILY 3/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!