PUTATAN: Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sabah, Dr. Afifi Saifuddin, menerangkan mengenai ibadah puasa bukan sahaja dari sudut kerohanian, malah baik dari aspek kesihatan tubuh badan.
Menurut beliau, amalan berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi turut memberi manfaat besar kepada kesihatan, seperti membantu sistem pencernaan berehat, mengawal berat badan, serta meningkatkan kepekaan terhadap pola pemakanan yang lebih sihat.
“Puasa membantu tubuh dalam proses pembersihan dalaman secara semula jadi, mengawal kadar gula dalam darah.
“Selain itu, ia juga mengajar kita erti kesederhanaan dalam pemakanan serta mencegah pembaziran makanan,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Ramadan di sekitar DUN Tanjung Keramat, dekat sini, kelmarin. (Foto atas)
Beliau turut menasihatkan agar masyarakat memanfaatkan Ramadan kali ini dengan penuh ketakwaan dan kesederhanaan serta mengutamakan kesihatan dalam pemilihan makanan berbuka dan sahur.
Dalam program itu, beliau bersama anak-anak muda dalam konvoi bermotor menjelajah 10 buah masjid bagi menyampaikan sumbangan buah kurma dan air mineral kepada ahli kariah untuk digunakan ketika aktiviti masjid sepanjang bulan Ramadan.
Konvoi tersebut turut disertai penunggang perkhidmatan penghantaran makanan GrabFood, Foodpanda, serta kelab Alternative Riding Club (ARC) Putatan.
Ini menjadikan perjalanan itu bukan sekadar satu misi kebajikan, tetapi juga usaha mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat berkongsi dalam kalangan masyarakat. – HARAKAHDAILY 3/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!