KUALA LUMPUR: Para pesawah di beberapa negeri utama pengeluar padi kini berdepan masalah kualiti benih padi yang semakin merosot sekali gus menjejaskan hasil tanaman.
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mendedahkan kadar percambahan benih yang sebelum ini 85 peratus kini menurun kepada 75 peratus.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pesawah terpaksa menggunakan lebih banyak benih bagi memastikan hasil yang mencukupi.
“Kita tengok Sabah dan negeri-negeri pengeluar padi utama seperti Kedah dan Kelantan, Perlis antara cabaran yang dihadapi untuk mencapai kadar sara diri ni ialah masalah kualiti benih padi.
“Kita tengok rungutan pesawah ni benih padi yang dibekalkan oleh pihak pembekal swasta ialah benih padi kurang kualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menggesa pihak berkaitan segera mengambil tindakan bagi membantu pesawah mengatasi isu tersebut.
“Jadi apakah tindakan ataupun perancangan pihak kementerian untuk mengatasi masalah kualiti benih padi untuk pesawah,” katanya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu campuran beras putih import dengan beras tempatan sebanyak 50 peratus berdasarkan kajian MARDI.
“Apakah tindakan drastik daripada pihak kementerian untuk mengatasi masalah beras campur ni?” soalnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata kerajaan komited menjalankan siasatan menyeluruh mengenai dakwaan tersebut.
“Hasil kajian MARDI sudah keluar. Ini antara usaha dalam program untuk reformasi industri padi beras negara kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!