OKU mangsa banjir terima bantuan ringankan beban

- Advertisement -

KUALA KRAI: Kelantan turut prihatin terhadap mangsa banjir dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) sehingga mengadakan program khusus untuk membantu golongan berkenaan.

- Advertisement -

Program tersebut mendapat kerjasama syarikat korporat yang turut membantu menyalurkan sumbangan mereka untuk diagihkan pada penerima.

Mereka adalah antara mangsa banjir di Kelantan seramai 114,730 orang dari 35,444 orang keluarga pada gelombang pertema yang bermula secara berperingkat-peringkat November tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim berkata, rekod menunjukkan sebanyak 316 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan sepanjang tempoh tersebut.

“Namun, bilangan mereka yang tidak berpindah ke PPS adalah lebih tinggi,” katanya ketika merasmikan Majlis Agihan Sumbangan Banjir kepada OKU Parlimen Kuala Krai.

Pada majlis itu, beliau menzahirkan keprihatinan terhadap golongan OKU yang juga menerima kesan daripada bencana tersebut.

“Sahabat-sahabat OKU kita juga tidak terlepas daripada ujian banjir, malah saya yakin mereka lebih merasainya berbanding orang lain.

“Namun, saya percaya anda semua adalah insan yang istimewa dan luar biasa,” ujarnya ketika berucap menyampaikan bantuan khas  kepada 50 orang golongan OKU yang terkesan dengan banjir baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman dan ADUN Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussein serta ADUN Mengkebang, Zubir Abu Bakar dan ADUN Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, juga Pengarah U-KeKWA, Ilvira Mohd Dasuki.

Menurut beliau, bagi membantu golongan berkenaan, pihaknya telah mendapat kerjasama dengan beberapa syarikat korporat yang bergabung untuk menjayakan program tersebut bersama kerajaan negeri.

“Kita hanya sebagai pemudah cara, dan tiada kata yang dapat saya ungkapkan selain ucapan terima kasih atas kesudian penyumbang membantu mereka yang memerlukan.

“Semoga sumbangan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya, lebih-lebih lagi sempena 1 Ramadan yang akan disambut esok (Ahad),” tambahnya pada program kelmarin.

Beliau turut mendoakan semoga mereka yang terkesan dengan banjir diberikan ganjaran terbaik serta digantikan dengan rezeki lebih baik oleh Allah SWT. – HARAKAHDAILY 3/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!