Kerajaan belum beri definisi T15 tidak layak subsidi

Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Golongan T15 dikatakan tidak lagi layak menerima subsidi, namun kerajaan masih belum memberikan definisi jelas mengenai kategori ini.

- Advertisement -

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, beliau mempersoalkan kriteria penentuan T15, sama ada ia berdasarkan pendapatan kasar semata-mata atau turut mengambil kira kos sara hidup dan komitmen kewangan.

“Adakah kerajaan hanya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata tanpa mengambil kira faktor sara hidup dan komitmen kewangan ataupun taraf hidup?

“Ramai golongan akan terjejas. Adakah sistem pangkalan data yang digunakan benar-benar tepat dan dikemas kini?

“Jika kadar kaedah penyasaran ini menggunakan sistem MyKad atau aplikasi khas, adakah kerajaan sudah melakukan ujian menyeluruh bagi mengelakkan keciciran atau penyalahgunaan kesan kepada harga barangan dan kos hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 peringkat Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Awang yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, menegaskan bahawa penarikan subsidi daripada kumpulan itu boleh memberi kesan rantaian kepada harga barang dan kos sara hidup.

“Jika subsidi bahan api dan elektrik dikurangkan sudah pasti operasi syarikat dan industri akan meningkat. Akhirnya rakyat biasa akan menanggung akibatnya dalam bentuk kenaikan harga barang keperluan ataupun isi rumah yang digunakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!