KUALA LUMPUR: Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh), mendesak kerajaan agar lebih telus dalam menjelaskan keperluan peruntukan tambahan sebanyak RM12.6 bilion yang diluluskan di bawah Belanjawan 2025.
Menurutnya, peningkatan perbelanjaan berkenaan menimbulkan persoalan sama ada ia berpunca daripada kelemahan perancangan awal atau faktor luar jangka seperti inflasi, perubahan dasar dan bencana alam.
“Apakah kriteria perbelanjaan yang terlibat? Temerloh ingin mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan mengenai justifikasi tambahan ini.
“Terdapat ketirisan dalam perancangan awal belanjawan atau adakah keadaan luar jangka tidak dapat dielakkan. Kita melihat peningkatan kos yang ketara akibat faktor seperti inflasi, perubahan dasar, bencana alam dan sebagainya.
“Jika ini menjadi sebab Temerloh ingin mencadangkan agar perancangan jangka panjang dibuat dengan lebih teliti supaya perbekalan tambahan seperti ini dapat dikurangkan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan (MOF), di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap perbelanjaan haruslah berdasarkan keperluan sebenar, bukannya sekadar perbelanjaan sementara tanpa penyelesaian jangka panjang.
“Walaupun kita memahami keperluan perbelanjaan tambahan ini untuk menampung perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan.
“Kita juga harus memastikan setiap sen yang dibelanjakan adalah berasaskan keperluan sebenar dan mengikut prinsip ketelusan serta kebertanggungjawaban.
“Ketelusan dalam perlaksanaan perbelanjaan ini adalah penting untuk mengelakkan pembaziran dan ketidak tirisan dana awam,” katanya.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana kerajaan akan menangani impak peruntukan tambahan tersebut terhadap defisit fiskal negara.
“Bagaimana kerajaan dapat memastikan sumber pendapatan mencukupi supaya perbelanjaan negara lebih cekap dan berkesan.
“Adakah kerajaan bercadang mengenakan berbagai cukai baharu untuk pendapat mendapatkan hasil?” tambahnya. – HARAKAHDAILY 3/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!