Bila kaedah subsidi petrol bersasar boleh dimuktamad

Mohd Syahir Che Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan subsidi petrol bersasar masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan meskipun isu ini telah beberapa kali dibangkitkan di Parlimen.

- Advertisement -

Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, sehingga kini masih tiada kepastian mengenai mekanisme subsidi petrol yang akan digunakan.

Menurutnya, Menteri Ekonomi pada 19 Februari 2025 menyatakan bahawa perkara itu masih dalam peringkat perbincangan, manakala Menteri Kewangan pada 26 Februari 2025 turut memberikan jawapan yang sama bahawa kaedah penentuan serta mekanisme pelaksanaan masih dalam penelitian.

“Jadi mohon kepastian daripada Menteri Kewangan, bilakah perkara asas ini boleh dimuktamadkan iaitu kriteria siapa yang layak atau tidak layak menerima subsidi petrol.

“Kepastian dalam hal ini penting supaya rakyat dapat menyusun belanjawan mereka dan bersedia dengan sebarang kesan yang timbul akibat dasar kerajaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Tegasnya lagi, ketidaktentuan dalam penyasaran subsidi ini boleh menyebabkan rakyat terpaksa menyediakan bajet tambahan dalam kehidupan seharian mereka.

Selain itu, Mohd Syahir turut membangkitkan isu perbelanjaan kerajaan yang telah melebihi peruntukan asal bagi tahun 2024, termasuk perbelanjaan kerana hutang negara sebanyak RM700 juta dan subsidi produk petroleum yang terlebih belanja sebanyak RM12.6 bilion.

“Bank Negara Malaysia melaporkan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir 2024 telah meningkat kepada RM1.247 trilion berbanding RM1.172 trilion pada akhir 2023.

“Justeru, mohon penjelasan kerajaan mengenai langkah mitigasi bagi mengawal perbelanjaan dan hutang negara selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023,” ujarnya.

Sebagai langkah penyelesaian, beliau mencadangkan agar kerajaan meningkatkan penerbitan instrumen pembiayaan patuh syariah bagi membiayai hutang sektor awam dan swasta, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam global. – HARAKAHDAILY 3/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!