KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai perkembangan analisis data Banci Pertanian 2024 yang dilaksanakan pada awal bulan Julai sehingga Disember tahun lalu.
Hassan Saad (PN-Baling) berkata, maklumat dari bancian tersebut digunakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membina sebuah pangkalan data bersepadu.
“Minta KPKM menyatakan status terkini analisis data dari Banci Pertanian 2024 dan bagaimana hasil bancian ini akan digunakan untuk meningkatkan sektor keterjaminan makanan.
“Serta data ini digunakan untuk membangunkan Pengkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR),” katanya dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato Arthur Joseph Kurup berkata, KPKM melaksanakan bancian itu bagi menghasilkan data yang inklusif dan relevan.
Beliau berkata, usaha itu membabitkan sektor tanaman, ternakan, perikanan serta perhutanan dan pembalakan bagi menyokong perancangan selain dasar yang lebih berkesan.
“Status terkini analisis data banci pertanian ini diperingkat pemuktamadan dapatan awalan bancian, pada masa yang sama Jabatan Perangkaan Negara (DOM) bersama beberapa kementerian,” katanya.
Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata lagi langkah tersebut bagi tujuan pengesahan data bancian yang akan digunakan untuk membangunkan MySAgR, integrasi data antara kementerian berkaitan.
MySAgR bakal menghasilkan sebuah pengkalan data yang lebih komprehensif dan bersepadu selain hasil analisis data Banci Pertanian 2024 akan digunakan untuk penerbitan statistik. – HARAKAHDAILY 3/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!