KUALA LUMPUR: Hab halal sedia ada wajar diperkukuhkan bagi menembusi pasaran antarabangsa serta meningkatkan sistem pensijilan halal negara.
Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berkata, masih terdapat cabaran dalam memastikan pensijilan halal lebih mudah dan diiktiraf secara global.
“Soalan saya, apakah langkah kementerian untuk memperkukuhkan hub halal yang sedia ada? Saya nampak tadi banyak, tapi sejauh mana kita nak perkukuhkan lagi untuk pasaran antarabangsa?
“Dalam masa yang sama, bagaimana dengan pensijilan halal? Setakat ini, pensijilan halal masih sukar diperoleh dan selalunya orang luar memahami bahawa sijil halal hanya dikeluarkan oleh JAKIM dan kerajaan negeri.
“Adakah terdapat pihak lain yang boleh dimanfaatkan, seperti universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini, yang boleh dijadikan one stop center untuk pensijilan halal,” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab persoalan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, kerajaan melalui jawatankuasa dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri sedang mengkaji mekanisme mempercepatkan proses pensijilan halal.
“Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri telah mengkaji untuk mempercepatkan proses pensijilan halal.
“Di bawah Halal Technology Corridor (HTC), proses atau program untuk mendapatkan pensijilan halal merupakan salah satu perkhidmatan konsultasi yang boleh dipromosikan sebagai sektor baharu,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 3/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!