KUANTAN: Isu anjing liar di sekitar Kuantan semakin membimbangkan selepas dua kanak-kanak menjadi mangsa serangan dalam kejadian berasingan baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Dato’ Andasura Rabu mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas bagi menangani masalah ini sebelum lebih ramai yang tercedera.
Menurutnya, aduan mengenai anjing liar sudah lama disuarakan penduduk, namun sehingga kini belum ada penyelesaian berkesan.
“Kedua-dua kes ini bukan kes terpencil. Saya percaya banyak lagi kes serangan anjing liar sama ada menyebabkan kecederaan atau tidak.
“Saya kerap menerima aduan berkenaan anjing-anjing liar ini sejak lebih setahun lalu terutama melibatkan kebimbangan keselamatan anak-anak dan warga emas. Yang terbaharu kira-kira dua minggu lalu melibatkan sekumpulan penduduk di Air Putih.
“Aduan-aduan telah dimajukan kepada pihak berkuasa termasuk melalui surat, aplikasi WhatsApp dan sistem aduan atas talian. Namun setakat ini tiada maklum balas yang memuaskan.
“Malah pihak saya tidak mempunyai maklumat yang jelas berhubung bentuk tindakan yang telah atau akan diambil,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam kejadian pertama, seorang kanak-kanak lelaki, Adam Rifqi, 10, diserang sekumpulan enam hingga lapan ekor anjing liar ketika bermain di kawasan kejiranan Taman PSJ, Sungai Karang.
“Adam mengambil sebatang kayu berdekatan dan cuba memukul namun gagal menakutkan anjing-anjing tersebut.
“Nasibnya baik apabila ada beberapa pekerja asing warga Bangladesh yang melihat insiden tersebut dan menerpa ke arahnya serta-merta dan menghalau anjing-anjing tersebut.
“Adik Adam terpaksa cuti sekolah dua minggu kerana perlu menjalani rawatan dan mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.
Beliau berkata, dalam kejadian kedua, Norhana, 4, diserang tiga ekor anjing liar di tepi pantai di Sungai Ular sewaktu melakukan aktiviti luar bersama keluarga.
“Ketika itu dia berlari dari ibunya menuju ke arah abangnya apabila tiba-tiba diterpa dan diserang oleh tiga ekor anjing dan salah seekor menggigitnya di bahagian bahu. Ia berlaku begitu pantas,” jelasnya.
Malah, Andasura berkata, aduan berkaitan anjing liar itu turut disuarakan oleh wakil-wakil kawasan lain dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah.
“Saya ulangi gesaan saya sebelum ini supaya pihak berkuasa menubuhkan pasukan khas untuk mengurus dan menangani isu ini. Jaminan perlu ditunjukkan kepada masyarakat bahawa keresahan dan kerunsingan mereka diberi perhatian sewajarnya.
“Tindakan yang lebih proaktif perlu diusahakan bukan sahaja untuk menangani aduan malah supaya menjadi prosedur yang berkesan untuk menguruskan isu ini dalam jangka panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!