Ramadan: Bulan kemenangan dan kebangkitan umat Islam

- Advertisement -

Ramadan: Bulan tarbiah dan jihad

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah dan puasa, tetapi juga madrasah tarbiah bagi umat Islam. Allah SWT menjadikan bulan ini sebagai medan latihan untuk memperkukuhkan jiwa, membina ketakwaan, dan mengasah kesabaran dalam perjuangan.

Firman Allah SWT:

- Advertisement -

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183)

Ketakwaan yang lahir daripada Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menanam semangat juang untuk menegakkan kebenaran dan mempertahankan Islam daripada ancaman musuh.

Di Malaysia, Ramadan harus menjadi bulan untuk memperkukuh kefahaman Islam, meningkatkan kesedaran politik Islam, serta mempererat ukhuwah Islamiah. Umat Islam tidak boleh terus leka dengan propaganda musuh yang mahu melemahkan mereka melalui pemikiran liberalisme, sekularisme, dan ideologi songsang.

Sejarah kemenangan Islam di bulan Ramadan

Sejarah telah membuktikan bahawa Ramadan bukan hanya bulan ibadah, tetapi juga bulan kemenangan besar bagi umat Islam. Antara peristiwa penting yang berlaku dalam bulan ini ialah:

1) Perang Badar (2H)

Peperangan pertama dalam sejarah Islam ini berlaku pada 17 Ramadan. Umat Islam yang hanya berjumlah 313 orang berdepan dengan 1,000 tentera Quraisy. Namun, dengan pertolongan Allah SWT, mereka memperoleh kemenangan besar.

Allah SWT telah mengingatkan:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali-Imran ayat 123)

2) Pembukaan Kota Makkah (8H)

Pada 10 Ramadan, Rasulullah SAW bersama 10,000 tentera Islam memasuki Mekah dan membebaskannya tanpa pertumpahan darah. Peristiwa ini membuktikan bahawa kemenangan Islam tidak semestinya dengan peperangan, tetapi juga dengan strategi, hikmah, dan kebijaksanaan.

3) Pembukaan Andalusia (91H)

Pada 28 Ramadan 92H, pasukan Islam pimpinan Thariq bin Ziyad berhadapan dengan tentera Raja Roderic di Lembah Barbate. Dengan hanya 12,000 tentera, mereka menentang bala tentera Kristian seramai 100,000 orang. Kemenangan ini membuka jalan kepada Islam untuk bertapak di Andalusia dan mempengaruhi tamadun Eropah selama berabad-abad.

4) Perang 6 Oktober 1973 (Perang Ramadan)

Pada tahun 1393H, tentera Mesir berjaya menawan kembali Terusan Suez daripada penjajahan Zionis. Peristiwa ini menunjukkan bahawa semangat jihad dalam bulan Ramadan tetap relevan sepanjang zaman.

Semua peristiwa ini mengajar kita bahawa Islam tidak boleh dipertahankan dengan ibadah semata-mata. Umat Islam mesti sedar bahawa kejayaan memerlukan persiapan dari sudut politik, ekonomi, dan sosial.

Umat Islam dan cabaran semasa

Hari ini, umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran yang menuntut kebangkitan dan perjuangan:

1) Palestin: Ujian ketahanan umat.

Umat Islam di Gaza dan seluruh Palestin terus berdepan dengan kekejaman Zionis. Ramadan bagi mereka bukan sekadar bulan puasa, tetapi juga bulan jihad dan kesabaran menghadapi penindasan.

Kini, rejim Zionis telah melancarkan kempen pencerobohan ke atas Tebing Barat, menyebabkan lebih 40,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal hanya dalam beberapa minggu. Dunia Arab pula terus bersikap lemah, membiarkan Palestin berjuang sendirian. Sabda Rasulullah SAW:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِّنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ…

“Sentiasa ada dalam kalangan umatku satu kumpulan yang menegakkan kebenaran, menghadapi musuh dengan gagah perkasa, tidak boleh dimudaratkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka… sehingga datangnya perintah Allah dalam keadaan mereka tetap berpegang teguh dengan agama.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad 22320)

2) Dunia Islam yang berpecah: Ujian perpaduan umat.

Umat Islam terus berdepan perpecahan sejak kejatuhan al-Khilafah dan penjajahan kuasa Barat sejak abad ke-16. Bermula dengan kejatuhan Melaka kepada Portugis pada 1511, diikuti penguasaan Belanda di Indonesia dan British di India, akhirnya Kerajaan Islam Moghul runtuh pada 1857. 

Empayar Uthmaniyyah sebagai khilafah terakhir juga tidak terlepas daripada konflik sebelum dihapuskan pada 1924. Selepas penjajahan, negara-negara Islam membentuk pentadbiran sendiri berdasarkan sistem warisan penjajah, bukan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah serta dilemahkan dengan racun ideologi Barat. 

Tanpa kepimpinan yang menyatu dan mengawasi umat Islam, kita akan terus lemah dalam menghadapi cabaran global. Ini peringatan besar daripada Hujjatul Islam Imam al-Ghazali:

الدين أس والسلطان حارس وما أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع

“Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang”. (Kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad)

Baginda SAW juga telah memberi amaran mengenai kelemahan umat akibat penyakit wahan, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian:

يُوشِكُ الأممُ أن تداعَى عليكم كما تداعَى الأكَلةُ إلى قصعتِها…

“Akan tiba satu masa di mana seluruh manusia mengerumuni kamu seperti mereka mengerumuni makanan di dalam bekasnya…” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud 4297)

Hadis ini bukan sekadar peringatan, tetapi juga petunjuk untuk kembali kuat—dengan mencintai akhirat dan berani berkorban demi Islam. Jika umat Islam terus lalai dengan kesenangan dunia dan melupakan perjuangan agama, mereka akan kekal lemah dan terpecah, ibarat buih di lautan yang mudah dihanyutkan arus.

3) Cabaran umat Islam di Malaysia.

Di Malaysia, umat Islam sedang berdepan ancaman halus seperti liberalisme, sekularisme, dan Islamophobia. Terdapat usaha untuk mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan melemahkan institusi-institusi Islam.

Antara isu terbaru ialah usaha menggubal undang-undang yang memudahkan pemaju mengambil alih kawasan tanpa persetujuan penuh penduduk. Hal ini boleh menjejaskan hak pemilikan tanah umat Islam dan membuka ruang kepada eksploitasi.

Oleh itu, umat Islam di Malaysia perlu sedar bahawa kelemahan dalam politik dan ekonomi boleh mengundang penguasaan pihak musuh.

Apa peranan kita?

Ramadan adalah masa untuk umat Islam bangkit dan memperkukuh iman. Kita perlu:

1. Mendidik generasi muda mengenai kepentingan mempertahankan Islam.

2. Menyokong ekonomi umat Islam dengan membeli produk halal dan menyokong perniagaan Muslim.

3. Membantu saudara seagama yang tertindas dengan menyebarkan kesedaran dan menangkis propaganda musuh.

4. Menyertai gerakan Islam yang benar-benar memperjuangkan dan mempertahankan agama.

Kesimpulan: Ramadan adalah permulaan kebangkitan

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan kebangkitan umat Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa kemenangan besar Islam berlaku dalam bulan ini.

Di Malaysia, umat Islam tidak boleh terus leka. Kita sedang berdepan dengan ancaman halus yang boleh melemahkan Islam jika tidak bertindak segera. Jadikan Ramadan sebagai titik perubahan—bangkit mempertahankan Islam dan menyatukan umat!

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk menjadi pejuang agama-Nya.

ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN 
1 Ramadan 1446H | 2 Mac 2025 – HARAKAHDAILY 2/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!