KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyeru umat Islam menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kesyukuran dan penghayatan.
Beliau berkata, Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi merupakan madrasah tarbiah, tazkiah dan maghfirah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Menurutnya, selain kewajipan berpuasa, umat Islam perlu memberi perhatian terhadap amalan lain seperti tilawah dan tadabbur al-Quran, kerana kitab suci itu merupakan hidayah dan panduan utama dalam kehidupan.
“Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi satu ibadah yang mempunyai ganjaran istimewa di sisi Allah SWT.
“Sebagaimana hadis Rasulullah SAW, setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya sehingga 700 kali ganda, kecuali puasa yang merupakan hak eksklusif Allah SWT dan Dia sendiri yang akan membalasnya,” katanya dalam perutusan sempena Ramadan 1446H.
Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam agar mengisi Ramadan dengan amalan soleh serta memperbanyakkan doa untuk diri, keluarga dan kesejahteraan ummah.
Kerajaan negeri katanya, komited untuk terus memasyarakatkan al-Quran melalui program tadarus al-Quran yang kini memasuki tahun ke-33 pelaksanaannya.
“Tahun ini, tema ‘al-Islah’ diangkat menerusi teks tadarus al-Quran yang dipetik dari Surah Hud ayat 116-120. Diharapkan mesej penting agar ummah bangkit memperjuangkan syariat Islam dapat dihayati sebaiknya,” ujarnya.
Beliau turut mengajak rakyat Kelantan agar memperkukuh ukhuwah dan amal bagi memastikan agenda Islah dapat dicapai demi masa depan Islam yang lebih gemilang.
“Sempena ketibaan Ramadan 1446H, saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh muslimin dan muslimat, khususnya rakyat Kelantan.
“Berazamlah agar Ramadan kali ini lebih bermakna dengan menunaikan ketaatan sepenuh penghayatan dan pengharapan kepada Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!