BULAN Ramadan yang dinanti-nanti telah tiba. Hari ini merupakan hari pertama bertamu di dalam kemuliaan dan keberkatan Ramadan. Pastinya orang-orang beriman bergembira dengan peluang berharga yang diberikan ini. Mereka akan berusaha untuk merebut kelebihan dan keistimewaan Ramadan yang dilipatkan gandakan ganjarannya agar menjadi insan yang bertakwa kepada Allah SWT.
Sebagai perkongsian harian di media sosial untuk tatapan para pembaca, Bingkisan Ramadan dicoretkan untuk menghayati isi kandungan al-Quran berpandukan pembahagian juzuk al-Quran. Ayat-ayat yang menjadi pilihan akan berkisar mengenai panduan wahyu dalam aspek prinsip dan nilai kepimpinan.
Surah al-Baqarah yang menjadi pembuka juzuk 1 merupakan antara surah yang banyak menjelaskan Manhaj Rabbani untuk Ummah. Oleh itu, surah al-Baqarah juga dinamakan dengan السِّنام yang bermaksud sesuatu kemuncak seiring dengan kandungannya yang merangkumi panduan hidup buat ummah.
Menerusi juz 1, manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah dengan menggalas tanggungjawab dan amanah untuk mentadbir berpandukan wawasan Allah. Firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.
Seorang khalifah atau pemimpin bertanggungjawab mentadbir dan memakmurkan bumi agar manusia mengabdikan diri kepada Allah Taala dengan menjadi seorang hamba yang taat dan patuh kepada perintah-Nya. Lalu Allah SWT menyatakan pertentangan iblis terhadap Nabi Adam alaihissalam sebagai khalifah yang mencerminkan bahawa pertentangan dan permusuhan dari musuh-musuh Allah akan sentiasa wujud di setiap zaman. Jalan keluar dan perlindungan yang terbaik bagi pembawa agama Allah adalah dengan berpegang teguh kepada ajaran-Nya yang semuanya terkandung pada al-Quran.
Apabila wahyu tidak dijadikan wawasan dalam mengurus dan mentadbir, Allah SWT mendatangkan kisah bani israil yang diberikan pelbagai nikmat namun mereka ingkar dan kufur sebagai iktibar kepada umat Nabi Muhammad SAW. Hayatilah bagaimana Nabi Ibrahim alaihissalam mengabadikan Manhaj Rabbani sebagai wawasan Allah dalam menjunjung amanah. Baginda berjaya menggalas amanah yang diberikan dan menjadi contoh menarik untuk diambil pengajarannya.
Kita semua adalah khalifah, baik khalifah kepada diri sendiri, keluarga, tempat kerja dan kepada ummah. Marilah kita berusaha untuk memastikan wawasan Allah dijadikan sebagai teras dan asas dalam kepimpinan demi melunaskan amanah sebagai khalifah.
DATO’ PANGLIMA PERANG USTAZ DATO’ MOHD NASSURUDDIN DAUD
Menteri Besar Kelantan
1 Ramadan 1446H – HARAKAHDAILY 2/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!