KOTA BHARU: Bagi mengeratkan hubungan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan rakan-rakan media pelbagai agensi, satu majlis khas antara media telah diatur bersama Naib Canselor baharunya, Prof Ts Dr Arham Abdullah.
Pertemuan yang dihadiri ketua-ketua biro dan pemangku ketua biro agensi media malam kelmarin diadakan lebih sejam di sebuah restoran di sini bagi merungkai sebarang masalah dihadapi media di samping mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak.
Dr Arham Abdullah ketika menyampaikan ucapan ringkasnya pada pertemuan itu, menjelaskan pihaknya akan mengadakan kerjasama yang padu dengan media dari semasa ke semasa.
Jelasnya, dengan pertemuan ini diharap saluran maklumat pada masyarakat di luar berkenaan UMK dapat diperluaskan.
“Kita berharap rakan-rakan media sudi sebar luaskan maklumat berkaitan kami di UMK kepada masyarakat umum agar mereka tahu tentang aktiviti khususnya maklumat berkaitan pendidikan di sini.
“Alhamdullilah, peluang malam ini saya ambil untuk lebih mengenali dan mengeratkan hubungan bersama rakan media yang banyak membantu menyampaikan informasi berkaitan UMK,” ujarnya.
Tambahnya, kolaborasi antara universiti dan media membawa pelbagai manfaat kerana sebagai sebuah lembah ilmu, UMK perlu digerakkan dengan sumber terbaik demi manfaat bersama.
Pada majlis itu juga, beliau turut mengucapkan terima kasih pada semua media yang sering memberi liputan pada UMK termasuk Harakahdaily kerana sering memberi kerjasama yang baik sehingga pernah memenangi Anugerah Liputan Terbanyak UMK dua tahun lalu.
Hadir sama pada pertemuan itu, Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) Yatimin Abdullah dan timbalannya, Shahnon Hanif Abdullah Suhaimi.
Sempena pertemuan itu juga, Arham turut menyampaikan cenderahati kepada wakil-wakil media yang hadir. – HARAKAHDAILY 1/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!