KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mencabar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan projek tebatan banjir di Kelantan dibuat menerusi ‘rundingan masuk poket’.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan bahawa projek itu sebenarnya ditangguhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) selepas mengambil alih pentadbiran atas alasan tatakelola yang tidak betul.
Namun, selepas dua tahun, projek itu disambung semula tanpa sebarang bukti penyelewengan.
“Bawalah bertaubat Dato’ Seri, khususnya menjelang Ramadan ini. Lebih baik bagi terus bukti mana satu yang dikatakan ‘rundingan masuk poket’ tu?” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Ahmad Fadhli turut membidas Anwar kerana membuat tuduhan tanpa bukti dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasas.
“Kalau tuduh tanpa bukti begini, saya pun boleh kata, PKR ialah parti yang penuh dengan pembohongan dan tipu rakyat, depan belakang dia tipu. Agak-agak pedih ke Dato’ Seri? Selamat berpuasa ya,” sindirnya.
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, menegaskan bahawa tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab seorang Perdana Menteri.
“Sepatutnya mengemukakan dasar membina, bukan sibuk menyerang lawan politik dengan tuduhan liar. Hakikatnya, PAS telah memerintah Kelantan lebih tiga dekad dengan rekod yang paling cemerlang dalam aspek integriti—bebas daripada skandal rasuah besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!